Memartabatkan perubatan tradisional Melayu
"EH, tipulah, takkan macam tu ja bole sembuh," itu antara reaksi segelintir masyarakat bila mendengar tentang kaedah perubatan tradisional Melayu.
Malah ada juga yang sembrononya menuduh kaedah perubatan tradisional Melayu ini sebagai sesat dan menggunakan makhluk halus.
Persepsi yang mengatakan kesemua perawat daripada perubatan tradisional Melayu ini adalah bomoh dan pawang merupakan stigma tegar yang kekal dalam minda masyarakat.
Lebih menyedihkan ada di antara masyarakat kita menganggap perubatan tradisional Melayu ini sebagai sesat, menggunakan jampi serapah dan tidak kurang pula yang menganggapnya khurafat.
Presiden Pertubuhan Sentuhan Kasih Al Qalam Malaysia, Datuk Seri Dr Baharudin Abu berkata, perubatan tradisional Melayu merupakan perubatan yang diwarisi sejak zaman berzaman dan ia tidak langsung bertentangan dengan ajaran Islam.
"Ramai yang keliru dengan perubatan tradisional Melayu, sebut sahaja pengamal perubatan tradisional Melayu orang akan kaitkan dengan bomoh, walhal ia tidak berkaitan.
"Perubatan tradisional Melayu merupakan warisan berzaman yang mana ia merupakan kaedah alternatif rawatan menggunakan ayat suci al-Quran, dan masa sama dipraktikkan juga dengan penggunaan tumbuhan herba yang terdapat kira-kira 13,00 jenis," katanya.
Tegasnya, perubatan tradisional Melayu merupakan satu kaedah perubatan alternatif pelengkap kepada perubatan moden.
"Dalam soal ini, tidak timbul isu bersaing dengan perubatan moden, namun saya nak tegaskan bahawa perubatan tradisional Melayu ia saling melengkapi.
"Kadangkala ada di antara penyakit yang tidak dapat diubati dengan perubatan moden namun dengan izin ALLAH, ia dapat diubati dengan kaedah rawatan tradisional," katanya.
Jelasnya, kebanyakan pengamal perubatan tradisional Melayu juga terdiri daripada golongan profesional.
"Ada di antara mereka berkecimpung dalam perubatan moden turut mempunyai kemahiran dalam bidang perubatan tradisional Melayu.
"Kita tidak gunakan keris, kemenyan dan beberapa bahan yang selalunya disalah tafsirkan oleh masyarakat, namun apa yang kita praktikkan adalah doa, ayat suci al-Quran dan juga tumbuhan seperti sirih, serai wangi dan beberapa tumbuhan lain," katanya.
Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan Etno Sains Alam Perubatan Melayu dan Komplementari Malaysia (Etno Sains), Profesor Dr Supyan Hussin berkata, etno sains bermaksud kearifan mempunyai pelbagai cabang dan aspek yang merujuk kepada kearifan tempatan merangkumi perubatan pemuliharaan kesihatan pencegahan penyakit Perawatan-pengubatan penyakit, seni bina (rumah, bangunan, kapal), makanan, gastronomi Seni Halus: tenun, jahit, khat, seni tampak, busana, aksesori, seni ukir, seni bela diri, seni suara dan muzik.
"Ramai di antara masyarakat yang tidak yakin dengan perubatan tradisional Melayu, malangnya mereka yakin dengan kemampuan perubatan daripada bangsa lain, ini yang amat menyedihkan.
"Skop etno sains dari sudut perubatan mempunyai tiga aspek iaitu pemuliharaan kesihatan, pencegahan penyakit dan perawatan iaitu pengubatan penyakit," katanya.
Katanya, perawatan dalam perubatan tradisional sebenarnya amat mementingkan pencegahan penyakit itu sendiri.
Daftar
Seiring dengan perkembangan di zaman moden ini, perubatan tradisional Melayu itu sendiri perlu bergerak seiringan dengan arus semasa.
Perlunya ada satu gabungan yang bertindak untuk mengawal selia dan mendaftarkan kesemua perawat ini sekali gus menjadikan statusnya berdaftar tanpa diragui oleh masyarakat.
Setidaknya dengan satu pengesahan yang lengkap dan disifatkan sah ia sekali gus mengangkat martabat perawat perubatan tradisional Melayu ini lebih dikenali dan menangkis tanggapan negatif masyarakat.
Jelas sekali kefahaman dan ilmu pengetahuan amat penting dalam memastikan perubatan tradisional Melayu ini kekal seiring dengan peredaran zaman.
* Muhammad Aminuralif Mohd Zoki ialah wartawan Sinar Harian edisi Selangor/KL
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!