Guna duit sendiri beli pelitup muka

Terdapat guru yang terpaksa membelanjakan duit sendiri untuk membeli kelengkapan perlindungan diri bagi kegunaan pelajar. -Foto Bernama
Terdapat guru yang terpaksa membelanjakan duit sendiri untuk membeli kelengkapan perlindungan diri bagi kegunaan pelajar. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendedahkan terdapat guru-guru membelanjakan ratusan ringgit wang sendiri untuk menyediakan kelengkapan pelindungan diri bagi kegunaan pelajar.

Antara peralatan tersebut ialah pelitup muka, bahan pencuci tangan (hand sanitizer) dan beberapa peralatan lain seperti baldi dan balang yang digunakan untuk murid membasuh tangan.

Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata, walaupun peruntukan untuk menyediakan peralatan perlindungan diri kepada pelajar disediakan oleh pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tetapi ia tidak mencukupi memandangkan bilangan murid yang ramai serta ia perlu digunakan secara berterusan.

“Ceupacs berharap pihak luar termasuk syarikat-syarikat korporat dan ibu bapa sendiri tampil ke hadapan bagi memberi sumbangan peralatan perlindungan diri.

“Ketika ini kebanyakan guru dengan sukarela menggunakan wang masing-masing bagi membeli peralatan tersebut untuk digunakan oleh pelajar-pelajar,” katanya menerusi satu kenyataan di sini semalam.

Dalam pada itu, Adnan berkata, Cuepacs serta wakil-wakil kesatuan di setiap negeri telah mula turun padang ke sekolah bagi melihat persiapan yang dilakukan oleh guru-guru untuk menyambut kehadiran pelajar-pelajar sebelum sesi persekolahan berlangsung.

“Cuepacs mengucapkan syabas dan setinggi penghargaan kepada semua guru dan pentadbir sekolah yang bertungkus lumus dari awal Jun lalu sehingga hari ini bagi memastikan semua pelajar dapat memulakan persekolahan dalam keadaan selamat dan tidak gusar.

“Cuepacs juga berasa kagum dan sangat menghargai pengorbanan guru-guru yang sanggup mengerah keringat mereka melakukan kerja-kerja pembersihan sekolah serta membuat tempat membasuh tangan dengan kreativiti masing-masing,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Cuepacs berharap terdapat syarikat-syarikat korporat dan orang ramai dapat memberikan sumbangan dan bantuan sekali gus dapat menyediakan persekitaran yang selamat untuk murid-murid belajar.

Adnan Mat
Adnan Mat

“Jika sebelum ini banyak pihak dan syarikat korporat tampil membantu menyediakan peralatan perlindungan diri kepada barisan petugas hadapan negara semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masih belum terlewat untuk kita bersama-sama mengambil tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dengan membantu guru-guru dan sekolah,” katanya.

Adnan turut menyeru agar orang ramai dapat membantu pihak sekolah sebagai menghargai jasa guru-guru.

“Kita masih belum menang sepenuhnya melawan Covid-19 selagi vaksin atau penawarnya tidak ditemui,” kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!