26 kawasan terjejas bekalan air pulih sepenuhnya
KUALA LUMPUR - Sebanyak 26 kawasan atau sembilan peratus daripada jumlah kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air berjadual bermula semalam (14 Julai) hingga 17 Julai ini, telah pulih sepenuhnya setakat pukul 4 petang tadi.
Pengarah dan Ketua Operasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abas Abdullah berkata, sehingga kini pihaknya telah menggerakkan 93 buah lori tangki air ke premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan klinik kesihatan.
Selain itu, katanya, sebanyak 136 tangki statik telah ditempatkan di pusat dialisis, klinik kesihatan dan juga sekolah-sekolah bagi kegunaan pelajar dan guru yang mula bersekolah hari ini.
“Bagi bantuan bekalan air melalui lori tangki ke kawasan perumahan, ia akan bermula esok,” katanya pada sidang media di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini hari ini.
Beliau seterusnya menasihatkan pengguna mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa mengambil bekalan air di Pusat Khidmat Setempat dan Pili Air Awam seperti memakai pelitup separuh muka dan mengamalkan penjarakkan sosial satu meter ketika beratur.
Menurutnya, pili air awam juga akan disanitasikan secara berkala dalam usaha mengelak penularan bakteria dan virus, bagi memastikan keselamatan pelanggan terpelihara.
Pada 6 Julai lalu, Air Selangor memaklumkan 420,000 akaun pengguna di 290 kawasan di Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur dan Kuala Langat akan mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula 14 hingga 17 Julai ini berikutan kerja penambahbaikan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (LRA SSP3).
Hari ini, syarikat itu turut memaklumkan pihaknya sedang mengaktifkan semula sistem LRA SSP3 selepas kerja penambahbaikan di loji rawatan itu yang bermula pukul 9 pagi semalam, dan siap sepenuhnya pada pukul 11 malam hari yang sama.
Sementara itu, seorang pengguna yang ditemui Bernama, Bahiah Idris, 59, berkata, beliau benar-benar berharap agar proses pemulihan bekalan air dapat dilakukan dengan segera memandangkan masalah itu amat mengganggu beliau dalam melaksanakan pelbagai rutin harian di rumah.
Ibu tunggal yang menetap di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya itu berkata, rumahnya telah mengalami gangguan bekalan air itu sejak pagi tadi, namun menurutnya dia hanya sempat membuat tadahan air di dalam dua baldi besar malam tadi.
Sementara itu, Puteri Nur Anisa Megat Ismail, 29, memilih untuk ke rumah saudara terdekat untuk membersihkan diri sekiranya air yang ditadah tidak mencukupi sebelum proses pemulihan air itu tamat.
“Saya sudah buat persiapan bekalan air untuk sehari atau dua hari sahaja dengan menadah enam botol air besar. Saya harap bekalan air dapat dipulihkan dengan segera kerana tadahan ini tidak mungkin bertahan lama,” katanya yang menetap di Seksyen 17 Shah Alam. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!