Kasih ibu menuju ke syurga
SETIAP daripada kita sebagai manusia dilahirkan oleh ALLAH SWT di atas muka bumi ini melalui ibu kita. Pelbagai gelaran yang dipanggil dalam memberi maksud seseorang yang melahirkan kita antaranya ibu, emak, ummi, mama, bonda dan sebagainya. Tidak kira apa gelarannya sekalipun, individu inilah yang telah melakukan pengorbanan besar dalam hidupnya iaitu mengandungkan dan seterusnya melahirkan kita.
Justeru, sebagai seorang anak kita haruslah menyayangi dan mengasihi ibu kita tidak kira sama ada dia masih hidup atau telah bertemu pencipta lebih awal daripada kita.
Banyak cara untuk kita mengasihi seorang ibu sebagai balasan di atas segala penat lelah yang dilakukannya terhadap kita. Bukan bergantung semata-mata kepada wang ringgit sahaja, tetapi pertolongan dan tingkah laku kita sebenarnya telah membuktikan bahawa kita amat menyayangi insan yang cukup bermakna dalam hidup kita itu.
Maka, beruntunglah bagi sesiapa yang masih mempunyai ibu di dunia untuk berbakti kepada dan membalas jasa baiknya. Namun begitu, bagi mereka yang telah dijemput ibunya oleh ALLAH SWT lebih awal daripada dirinya sendiri, maka perbanyakkanlah berdoa agar dosa ibu kita diampunkan oleh ALLAH SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Jika seseorang manusia (Islam) meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah yang berterusan, ilmu pengetahuan yang dapat memberi faedah (kepada dirinya atau kepada orang lain) dan anak soleh yang beramal baik dan sentiasa mendoakan kepadanya.”(Hadis Riwayat Muslim)
Reda ibu itu sangat penting dalam kehidupan kita kerana dia ialah insan yang telah diberikan kekuatan oleh ALLAH SWT sewaktu mengandung dan melahirkan kita.
Justeru, dalam segala perlakuan kita perlulah kita mendapatkan reda seorang ibu terutama bagi seorang lelaki. Ini adalah kerana seorang lelaki itu masih perlu mengikut kata-kata ibu selagi tidak melanggar syariat walaupun telah berkahwin. Berbeza bagi seorang wanita kerana setelah berkahwin, suami adalah tempat yang mereka perlu patuh dan taat serta mendengar kata selagi tidak melanggar ajaran Islam.
Dalam perbualan mahupun tutur kata, seharusnya kita menggunakan bahasa yang baik agar tidak mengguris hati ibu kita. Sentiasalah berkomunikasi dan berbincang sekiranya ada apa-apa perkara yang wajar supaya tidak timbul salah faham kelak. Namun perlu diingat, dalam berbicara jangan sesekali kita meninggikan suara apatah lagi menjerit-jerit terhadap ibu kita.
Sebaliknya penggunaan bahasa itu cukup penting dalam menjalin hubungan yang baik dengan ibu bapa dan keluarga kita terutama kepada ibu kita.
Sehubungan itu, janganlah kita meminggirkan ibu kita setelah usia mereka meningkat dengan langsung tidak mengambil berat berkaitan dirinya.
Selagi kudrat kita ada, berusahalah untuk bersama menjaga ibu kita kelak sekiranya dia berada dalam keadaan sakit. Jika dia berada dalam keadaan sedih, gembirakanlah beliau dengan selalu menjenguk dan bertanya khabar melalui panggilan telefon.
Ingatlah bahawa pengorbanan seorang ibu itu sangat besar di sisi ALLAH SWT dan ganjaran pahala menanti mereka. Oleh yang demikian, jauhi sifat mazmumah terhadap ibu kita dan yang paling penting jangan sampai kita tidak pernah mengaku bahawa dia merupakan ibu kita.
Sentiasalah bermuhasabah diri dan renungilah pepatah “seorang ibu boleh menjaga seorang anak, akan tetapi seorang anak itu belum tentu dapat mejaga ibunya kelak.”
Maka, beruntunglah bagi sesiapa yang masih mempunyai ibu di dunia untuk berbakti kepada dan membalas jasa baiknya."
* Rafiuddin Mohd Yusof ialah Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan Unit Hal Ehwal Islam (UHEI) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Segamat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!