Wan Kuzri sertai skuad B-18 negara esok

Wan Ahmad Kuzri23
Wan Ahmad Kuzri23
A
A
A

PEMAIN Akademi Bola Sepak St Louis, Amerika Syarikat, Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal dijangka menyertai sesi kem latihan skuad Bawah 18 Tahun (B-18) kebangsaan buat kali pertama esok.

Pengurus pasukan, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar berkata, pemain tengah berusia 18 tahun itu yang telah menjalani ujian swab Covid-19 kedua hari ini dijangka menyertai 34 barisan pemain apabila tempoh kuarantin wajibnya berakhir esok.

“Wan Kuzri akan bersama kita, insya-Allah selepas tamat menjalani proses kuarantin selama 14 hari dan esok, beliau akan menjalani latihan buat pertama kali bersama kita.

“Saya belum terima keputusan ujian calitan keduanya, tetapi saya dimaklumkan esok beliau akan memotong gelang kuarantin,” katanya ketika ditemui pemberita, pada sesi latihan skuad B-18 negara di Wisma Persatuan Bola Sepak (FAM) Kelana Jaya di sini hari ini.

Skuad B-18 kini dalam persiapan menghadapi Kejuaraan B-19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020, yang menjadi pentas kelayakan ke Piala Dunia B-20 2021 dan menyasarkan muncul pasukan Malaysia pertama layak secara merit ke pentas Piala Dunia.

Pada kejuaraan yang akan berlangsung di Uzbekistan dari 14 hingga 31 Oktober itu, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama bekas juara, Qatar, Tajikistan dan Yemen.

Sementara itu, Ketua Jurulatih U-18 Brad Maloney memuji dedikasi dan profesionalisme pemain pada kem latihan yang masuk hari ke-10.

“Saya dapat lihat persaingan antara satu sama lain amat tinggi, jadi banyak persaingan bagi merebut tempat, ada yang tiga atau empat pemain bersaing bagi mendapatkan satu tempat dalam pasukan.

Artikel Berkaitan:

“Pemain datang untuk bersaing dan saya boleh lihat mereka telah lakukan usaha lebih lagi, sendiri, seperti datang awal ke latihan dan lakukan persediaan dengan baik. Saya dapat lihat dedikasi daripada pemain dan tahap profesionalisme mereka amat baik,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!