Ultimate Reds Battle Fun Run 2019, lain daripada yang lain!
ULTIMATE Reds Battle Fun Run 2019 yang akan berlangsung 23 Februari depan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam menjanjikan suatu kelainan yang tersendiri.
Buat julung kalinya, ia bakal menemukan penyokong dari dua seteru utama Liga Perdana Inggeris, Manchester United dan Liverpool dalam satu acara larian.
Acara yang julung kali dianjurkan Golden Fivers Global ini menyasarkan seramai 8,000 peserta dengan penyertaan masih lagi dibuka sehingga 31 Januari ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rabiatul Adawiyyah Izzaddin berkata, setakat ini sudah seramai 3,000 peserta mendaftar dan beliau yakin sasaran 8,000 peserta itu berjaya direalisasikan sebelum pendaftaran ditutup.
Jelasnya, dengan yuran penyertaan serendah RM80 untuk individu dan RM75 untuk kumpulan (lima orang ke atas) ianya cukup berbaloi kerana peserta bakal menerima jersi eksklusif (mengikut pilihan pasukan masing-masing) berserta beg, medal dan pelbagai barangan tajaan lain.
Tambahnya lagi, Ultimate Reds Battle tidak hanya mengangkat satu tema acara larian yang unik, sebaliknya ia juga bakal menampilkan pelbagai acara sampingan lain yang cukup menarik buat seisi keluarga.
"Kita mahukan sebuah program yang mana seluruh keluarga dapat beriadah bersama-sama kerana selain acara Fun Run, kita juga ada acara sampingan lain yang menarik seperti tarian Zumba, sukaneka daripada kelab penyokong rasmi Manchester United dan Liverpool iaitu Red Army Malaysia dan All Reds Malaysia selain turut diadakan Chant Battle antara kedua-dua penyokong dan juga gerai-gerai jualan.
"Hadiah cabutan bertuah yang menarik turut menanti peserta yang mana hadiah utamanya merupakan tiket penerbangan pergi balik untuk dua orang ke London," katanya di Majlis Pelancaran Ultimate Reds Battle bertempat di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf semalam.
Majlis perasmian itu turut dihadiri Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah; Timbalan Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), Datuk Richard Scully dan Editor Sukan Sinar, Izahar Atan.
Muhammad Nasir ketika berucap sebelum merasmikan acara tersebut menyifatkan anjuran ini satu inisiatif terbaik dalam menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan rakyat Malaysia.
Justeru beliau menyeru agar lebih ramai dapat memberikan sokongan kepada acara ini bukan sahaja di kalangan penyokong Manchester United dan Liverpool bahkan semua rakyat khususnya di sekitar Lembah Klang.
"Saya mahu menyeru bukan sahaja staf Kumpulan Media Karangkraf tetapi juga semua yang ada di sekitar Lembah Klang dapat menyertai acara larian yang cukup unik ini. Semoga dengan sambutan yang menggalakkan ianya dapat memupuk lebih ramai rakyat Malaysia menyemai gaya hidup sihat dengan bersukan," katanya.
Sementara itu, Editor Sukan Sinar, Izahar Atan berkata, larian ini menampilkan tema yang cukup berbeza dan lain daripada yang lain.
"Ini membuatkan Sukan Sinar setuju menjadi media rasmi acara ini.
"Sebelum ini kita semua tahu betapa dinginnya hubungan penyokong Manchester United dan Liverpool. Dua pasukan ini sudah menjadi rival sejak bertahun-tahun dan bagi saya bila adanya satu acara yang mahu mengumpulkan dua kelompok penyokong ini ianya memang sesuatu yang cukup baik dan menarik.
"Mungkin dengan cara ini, ia dapat mengurangkan ketegangan di antara kedua-dua penyokong dan pada masa sama mengeratkan lagi hubungan semua memandangkan seperti yang kita tahu sukan menjadi salah satu ejen penyatuan di dunia," katanya.
INFO ULTIMATE REDS BATTLE 2019:
Tarikh: 23 Februari 2019
Masa: 8.00 malam - 11.00 malam
Lokasi: Dataran Kemerdekaan Shah Alam
Kategori: 3km, 5km, 10 km (peserta boleh pilih)
Laman Web: www.ultimateredsbattle.com
Yuran Pendaftaran: RM80 (individu) RM75 (kumpulan 5 orang ke atas)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!