Monsun luar biasa landa Asia

Gambar dari udara menunjukkan jalan utama dan bangunan yang tenggelam selepas paras empangan melimpah akibat banjir di Jiujiang, wilayah Jiangxi, China pada Isnin lalu. - Foto: AFP
Gambar dari udara menunjukkan jalan utama dan bangunan yang tenggelam selepas paras empangan melimpah akibat banjir di Jiujiang, wilayah Jiangxi, China pada Isnin lalu. - Foto: AFP
A
A
A

GENEVA - Monsun yang membawa hujan lebat dan banjir luar biasa telah melanda sebahagian besar negara Asia ketika ancaman wabak koronavirus (Covid-19) masih tinggi.

“Keadaan cuaca buruk itu menyukarkan lagi situasi di kebanyakan negara yang masih terdedah pandemik tersebut. Ia jelas menunjukkan kesan perubahan iklim yang telah meningkatkan risiko cuaca ekstrem seperti hujan lebat dan banjir besar,” kata Setiausaha Agung Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), Petteri Taalas.

Minggu lalu, WMO memetik data Sistem Ramalan Banjir Kilat Asia Tenggara memaklumkan taburan hujan lebih 200 milimeter dijangka melanda beberapa kawasan di Bangladesh, Bhutan, timur laut India, Myanmar dan Nepal dalam tempoh 24 jam.

Penduduk kampung membawa barangan milik mereka ke pusat pemindahan selepas banjir kilat melanda Luwu Utara di Sulawesi Selatan. - Foto: AFP
Penduduk kampung membawa barangan milik mereka ke pusat pemindahan selepas banjir kilat melanda Luwu Utara di Sulawesi Selatan. - Foto: AFP

Agensi PBB itu turut menggunakan contoh di beberapa bahagian tengah utara New Delhi yang didakwa mengalami taburan hujan lebih 150 milimeter melebihi paras purata pada tahun ini.

WMO juga menjangkakan suhu global mencecah satu darjah Celsius di atas paras praindustri pada setiap lima tahun sehingga 2024 dan terdapat kemungkinan sebanyak 20 peratus ia akan melebihi 1.5 darjah Celsius pada tahun tertentu.

Taalas menegaskan, kelembapan ekonomi akibat Covid-19 bukan sebagai alternatif untuk tindakan iklim memandangkan karbon dioksida (CO2) berada pada tempoh yang lama di atmosfera dan ia tidak akan menyebabkan penurunan gas tersebut.

“Covid-19 telah menyebabkan krisis kesihatan dan ekonomi antarabangsa yang teruk. Kegagalan untuk menangani masalah perubahan iklim mungkin mengancam manusia, ekosistem dan ekonomi selama berabad.

Artikel Berkaitan:

“Pemerintah dan kerajaan sepatutnya mengambil peluang mengambil bahagian dalam tindakan iklim sebagai sebahagian daripada program pemulihan untuk memastikan keadaan menjadi lebih baik,” ujarnya.

Musuh baharu di China

Wuhan kini berdepan ‘musuh baharu’ iaitu ancaman banjir selepas bandar yang menjadi pusat pandemik itu berusaha memerangi virus tersebut selama beberapa bulan.

Paras tertinggi Sungai Yangtze yang merentasi Wuhan di wilayah Hubei dilaporkan mencecah paras 28.8 meter pada Ahad lalu, sekali gus menjadi sungai keempat yang mencatatkan paras tertinggi di bandar terbabit.

Susulan itu, kerajaan tempatan dan penduduk bertindak mengambil langkah berjaga-jaga kerana paras sungai terbabit dijangka berada pada tahap bahaya dalam tempoh 10 hari lagi.

Pusat Meteorologi Kebangsaan memperbaharui tahap amaran kepada kod warna biru untuk cuaca buruk berikutan hujan lebat berterusan terus melanda sebahagian besar wilayah di China termasuk Sichuan, Chongqing, Shaanxi, Henan, Hubei, Anhui, Shanghai dan Zhejiang.

Pihak berkuasa tempatan juga telah memberi amaran awal tentang ancaman banjir, tanah runtuh dan menyarankan aktiviti luar ditangguhkan di kawasan berisiko tinggi.

Difahamkan, sistem amaran cuaca di Beijing mempunyai empat tahap dengan kod merah sebagai paling teruk diikuti jingga, kuning dan biru.

Terjejas teruk

Banjir teruk melanda beberapa wilayah di Bangladesh dengan hampir empat juta penduduk terpaksa meninggalkan rumah untuk ke kawasan lebih tinggi bersama ternakan dan harta-benda masing-masing.

Paras air di sungai utama dilaporkan meningkat di kira-kira 24 titik di 20 daerah dan kebanyakan kawasan baharu di utara, timur laut dan tengah Dhaka telah terjejas.

“Keadaan semakin dahsyat. Satu pertiga Bangladesh kini tenggelam. Banjir dijangka berterusan pada tahun ini dan ia merupakan petanda buruk,” kata jurutera eksekutif di Lembaga Pembangunan Air, Arifuzzman Bhuiyan.

Jelasnya, hujan lebat dan aliran air dari hulu India didakwa menjadi punca utama banjir di negara yang mempunyai populasi 160 juta penduduk tersebut yang biasanya mengalami hujan monsun antara Jun dan Oktober pada setiap tahun.

Kumpulan penduduk meredah banjir di Sunamganj, Bangladesh yang berdepan cuaca buruk akibat monsun luar biasa pada tahun ini. - Foto: AFP
Kumpulan penduduk meredah banjir di Sunamganj, Bangladesh yang berdepan cuaca buruk akibat monsun luar biasa pada tahun ini. - Foto: AFP

Difahamkan, sebanyak 230 sungai merentasi Bangladesh termasuk 53 yang dikongsi bersama India.

Banjir teruk itu bermula pada akhir bulan lalu dan menenggelamkan kebanyakan kawasan baharu serta memusnahkan hasil tanaman.

Di Indonesia, banjir kilat dan tanah runtuh telah meragut sekurang-kurangnya 16 nyawa dan mengakibatkan ratusan lain hilang tempat tinggal di Pulau Sulawesi.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) juga giat dilancarkan selepas kira-kira 23 dilaporkan hilang di kabupaten Luwu Utara, wilayah Sulawesi Selatan.

Hujan lebat turut menyebabkan tiga sungai berhampiran daerah itu tenggelam selama beberapa hari hingga memaksa pemindahan lebih 600 penduduk akibat banjir.

Di Jepun, Perdana Menteri, Shinzo Abe kelmarin melawat wilayah Kumamoto untuk menilai kemusnahan akibat banjir teruk yang melanda negara itu dan meragut lebih 150 nyawa.

Selain itu, 14 wilayah lain turut tenggelam akibat hujan lebat berterusan yang menyebabkan 105 sungai melimpah manakala 27 wilayah merekodkan 316 kejadian tanah runtuh.

Ketika kunjungan itu, beliau juga mengumumkan kerajaan akan memperuntukkan 400 bilion yen (RM15.9 bilion) untuk dana pembinaan semula dan menyokong perniagaan kecil yang terjejas dalam bencana tersebut. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!