Penganggur didakwa bunuh tiga kucing dalam mesin basuh

Tertuduh (tengah) dibawa pegawai Veterinar ke mahkamah pagi ini.
Tertuduh (tengah) dibawa pegawai Veterinar ke mahkamah pagi ini.
A
A
A

SELAYANG - Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini atas pertuduhan membunuh tiga ekor kucing dengan melemaskan haiwan itu di dalam tiga mesin basuh di sebuah kedai dobi layan diri di Kepong, Ahad lalu.

Tertuduh Muhammad Najwan Zulkefli, 24, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Syafeera Mohd Said, bermula jam 9.30 pagi.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa pada jam 5 hingga 6.30 pagi Ahad lalu di Premis Dobi Layan Diri Atlantis, Blok 3, Desa Satu Apartmen Desa Aman Puri di Kepong dengan kejamnya atau secara tidak munasabah membuat atau meninggalkan untuk melakukan apa-apa perbuatan menyebabkan kesakitan atau penderitaan yang tidak sepatutnya kepada tiga ekor kucing jantan.

Dengan ini tertuduh melakukan kesalahan di bawah Subseksyen 29 (1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) Akta yang sama.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki bunuh tiga ekor kucing di kedai dobi

Suspek bunuh kucing dalam mesin basuh direman

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Selangor N Naageswara Rao.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu Naageswara memohon tertuduh untuk dihantar ke hospital bahagia bagi pemeriksaan lanjut memandangkan perwatakan tertuduh yang tidak stabil.

Hakim Syafeera kemudian membenarkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk pemerhatian lanjut selama sebulan dan menetapkan 13 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, seorang wanita mendedahkan dalam media sosial mengenai tindakan kejam individu yang membunuh tiga kucing dengan cara dilemaskan dalam tiga mesin basuh di sebuah kedai dobi layan diri di Kepong.

Tindakan kejam itu dipercayai dilakukan seorang lelaki berusia 30-an kira-kira jam 5.30 pagi.

Lelaki terbabit yang dikatakan kurang siuman dan hidup gelandangan selepas kematian ibu bapanya ditahan bagi membantu siasatan selepas ditemui penduduk di Aman Puri, Kepong.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!