Nasrudin terajui Yadim, Mohd Redza Shah pula Pengerusi YaPEIM

Zulkifli (tengah) bersama Nasrudin (kiri) dan Mohd Redza Shah di pejabatnya hari ini.
Zulkifli (tengah) bersama Nasrudin (kiri) dan Mohd Redza Shah di pejabatnya hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan dilantik sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang baharu.

Beliau menggantikan Nik Omar Nik Abdul Aziz yang melepaskan jawatan itu berkuat kuasa semalam.

Sementara itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid pula dilantik sebagai Pengerusi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang baharu.

Mohd Redza Shah menggantikan Datuk Mohd Daud Bakar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, pelantikan Nasrudin dan Mohd Redza berkuat kuasa hari ini.

“Penghargaan khusus saya zahirkan kepada Datuk Dr Daud Bakar dan Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz atas sumbangan dan jasa sepanjang berkhidmat. Semoga ALLAH SWT membalasnya dengan ganjaran setimpal.

“Tahniah saya ucapkan kepada Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid dan Ustaz Nasruddin Hasan. Saya mengharapkan Yadim dan YaPEIM akan terus memacu kecemerlangan untuk ummah,” kata Zulkifli dalam catatan di Facebooknya sebentar tadi.

Artikel Berkaitan:

Zulkifli menerima kunjungan Nasrudin di pejabatnya hari ini.
Zulkifli menerima kunjungan Nasrudin di pejabatnya hari ini.

Nasruddin dan Mohd Redza Shah melakukan kunjungan terhadap Zulkifli hari ini.

Sebelum ini, Yadim mengumumkan pelantikan Nik Omar pada 14 Disember 2018 bagi menggantikan Dr Yusri Mohamad yang menamatkan tempoh jawatannya pada 31 Oktober.

Pelantikan Nik Omar yang juga anak bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu dibuat mengikut Klausa 8(c) Perlembagaan Yadim yang memberi kuasa pelantikan Yang Dipertua Yadim serta timbalannya kepada keputusan Perdana Menteri.

Kontrak lantikan Nik Omar adalah selama dua tahun dan sepatutnya berakhir Disember depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!