Yayasan UMP perkenal biasiswa pelajar pascasiswazah
PEKAN - Yayasan Universiti Malaysia Pahang (UMP) memperkenalkan biasiswa kepada pelajar pascasiswazah bagi membantu meringankan beban perbelanjaan golongan itu sepanjang mengikuti pengajian penyelidikan di universiti tersebut.
Seramai 20 pelajar layak menerima Biasiswa Yayasan UMP (Ijazah Sarjana-Penyelidikan) yang julung kali diperkenalkan itu.
Pengerusi Yayasan UMP, Datuk Seri Md Sharif Shamsuddin berkata, bantuan melalui biasiswa itu sebagai pemangkin semangat kepada pelajar pascasiswazah terpilih untuk terus fokus dalam menjalankan eksperimen, kajian lapangan dan penerbitan jurnal sehingga tamat pengajian.
Menurutnya, biasiswa itu dapat membantu pelajar membayar yuran pengajian, mengurangkan beban perbelanjaan serta bantuan wang saku sepanjang mengikuti pengajian di UMP.
"Saya percaya dengan adanya biasiswa ini, ia mampu menarik minat dan menjadi pendorong lebih ramai pelajar prasiswazah untuk melanjutkan pengajian mereka di peringkat pascasiswazah.
"Kita juga harapkan pelajar yang menerima biasiswa ini dapat belajar bersungguh-sungguh dan menyumbang kembali kepada Yayasan UMP setelah menamatkan pengajian kelak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis penyerahan biasiswa itu di UMP Kampus Pekan di sini kelmarin.
Turut hadir Naib Canselor UMP, Profesor Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Datuk Dr Yuserrie Zainuddin dan Dekan Institut Pengajian Siswazah (IPS), Profesor Datin Ts Dr Mimi Sakinah Abdul Munaim.
Md Sharif berkata, Yayasan UMP berterima kasih kepada penyumbang dalam kalangan badan korporat, pusat zakat dan semua pihak yang terlibat.
Dalam pada itu, katanya, pelajar yang menamatkan pengajian dan terkesan akibat pandemik koronavirus (Covid-19) dinasihatkan agar bersabar dalam mendapatkan pekerjaan.
"Saya sarankan mereka agar kembali menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi sekiranya berkemampuan atau mengikuti kursus sijil kompetensi dan jangka masa pendek," katanya.
Beliau berkata, Yayasan UMP yang dahulu dikenali sebagai MyGift UMP yang ditubuhkan sejak Oktober 2016 bertujuan mengumpul dana untuk kebajikan pelajar UMP dengan membiayai program pendidikan, kemasyarakatan serta penyediaan kemudahan pembelajaran tambahan untuk pelajar dan universiti.
"Pihak Yayasan UMP telah membelanjakan RM2.2 juta untuk sumbangan bagi insentif pelajar baharu bagi pembiayaan masuk universiti, insentif kecemerlangan dan biasiswa ijazah sarjana berjumlah RM260,000.
"Sehingga kini, Yayasan UMP telah mengagihkan lebih RM9 juta kepada 70,464 penerima manfaat termasuk pelajar cemerlang UMP, pelajar miskin, asnaf, golongan B40, pelajar antarabangsa,komuniti setempat dan golongan yang memerlukan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!