Peguam tidak sihat, perbicaraan kes rasuah Rosmah ditangguh

Rosmah Mansor - Foto Bernama
Rosmah Mansor - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menangguhkan prosiding perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor berhubung pembekalan dan pemasangan sistem solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak kerana peguambelanya tidak sihat.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu wartawan bahawa peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader tidak dapat meneruskan pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan ke-16, Rayyan Radzwill Abdullah.

"Dia (Akberdin) adalah peguam yang akan melakukan pemeriksaan balas terhadap saksi ini, jadi kami tidak mempunyai pilihan selain bersetuju (tidak membantah). Beliau (peguam) mengatakan, dia tidak dapat bercakap dan tidak dapat melakukan pemeriksaan balas.

"Jadi perbicaraan akan bersambung pada 3 Ogos," katanya.

Terdahulu, Sri Ram dan Akberdin mengadakan pertemuan dalam kamar dengan hakim, Mohamed Zaini Mazlan.

Rosmah, 68, berbaju kurung hijau dan berselendang yang berada di dalam mahkamah, kemudian dimaklumkan peguamnya bahawa prosiding hari ini telah dilapangkan.

Sementara itu, Akberdin, ketika ditemui wartawan mengesahkan beliau tidak sihat.

Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua tuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

Artikel Berkaitan:

Suapan itu didakwa diterima menerusi bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor, sebagai upah membantu Jepak mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Suria Photovoltaic (PV) Hibrid serta penyelenggaraan dan operasi genset/diesel untuk 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1. 25 bilion dari Kementerian Pendidikan secara rundingan terus.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini; Kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 hingga September 2017.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi jika disabitkan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!