RUU Covid-19 berkaitan urus niaga jualan kredit dibentang di Dewan Rakyat
PUTRAJAYA - Rang undang-undang (RUU) Covid-19 berkaitan urus niaga jualan kredit akan dibentangkan di Parlimen pada sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, penggubalan RUU tersebut bagi melindungi pengguna dengan melarang pemberi kemudahan kredit untuk mengenakan caj bayaran lewat.
"Selain itu, ia juga akan menghalang pemberi kredit untuk memulakan undang-undang terhadap pembeli ketika negara berhadapan pandemik Covid-19," katanya pada sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan di kementeriannya di sini hari ini.
Menurutnya, pindaan tersebut akan membantu pengguna mengurangkan beban bayaran ansuran bulanan.
"Ia juga akan memberi kelonggaran beban kewangan yang dialami pembeli jualan kredit sedia ada sewaktu pasca Covid-19," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, kementerian berperanan untuk memulihkan ekonomi dan membantu rakyat pada pasca Covid-19.
"Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) dengan kerjasama kementerian terlibat sedang meneliti penggubalan RUU Temporary Measures For Reducing The Impact of Coronavirus Disease 2019 Act 2020," katanya.
Sementara itu, Alexander berkata, agensi di bawah kementeriannya iaitu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah memperoleh pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Records sebagai agensi pertama mencipta rekod pendaftaran perniagaan terbanyak di negara ini.
"Pada 20 Februari lalu, sebanyak 2,705 perniagaan baharu direkodkan dalam masa sehari berbanding purata 1,100 sahaja," katanya.
Menurutnya, pencapaian tersebut merupakan kejayaan SSM melaksanakan program #JOMDAFTARSSM2020.
"Yang penting usaha begini akan berterusan bagi menggalakkan rakyat mendaftarkan perniagaan mereka bagi membolehkan bantuan dana dan statistik direkodkan," katanya.
Turut hadir pada majlis itu Timbalan Menteri, Datuk Rasol Wahid dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!