Lynas perlu beroperasi sebelum Mac tahun depan
KUALA LUMPUR - Lesen operasi loji pemprosesan nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) boleh ditarik semula jika tidak memulakan proses pembangunan Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF) sebelum Mac tahun depan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Lynas disyaratkan memulakan proses itu pada tahun pertama dari tarikh lesen tersebut diperbaharui bagi tempoh tiga tahun.
Menurutnya, lesen berkenaan diluluskan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) pada Mac 2020 sehingga 2 Mac 2023.
"Bagaimanapun, jika Lynas tidak dapat memulakan proses pembangunan PDF dalam tempoh satu tahun iaitu daripada keputusan untuk dilanjutkan lesen dibuat iaitu pada Mac 2021, maka lesen itu boleh ditarik balik," katanya pada Mesyuarat Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di sini semalam.
Beliau menjawab soalan tambahan Yeo Bee Yin (DAP-Bakri) mengenai sama ada kerajaan akan menarik balik lesen Lynas jika tidak mematuhi syarat di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304).
Terdahulu ketika menjawab soalan asal Tan Sri Noh Omar (UMNO-Tanjong Karang) berkaitan dakwaan Kabinet bersetuju melanjutkan tempoh lesen terbabit Khairy berkata, permohonan lesen tersebut diluluskan selepas Lynas mematuhi kesemua syarat tambahan lesen sebelum ini.
“Hasil pemeriksaan dijalankan oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (Lembaga) menunjukkan pengurusan Lynas mematuhi semua peruntukan dan syarat lesen di bawah Akta 304.
“Justeru, kerajaan bersetuju lesen operasi Lynas diteruskan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!