Kes 1MDB: Prosiding tamat awal untuk Najib ke Parlimen

Najib (dua dari kiri) hadir di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur hari ini bagi perbicaraan kes rasuah 1MDB dan pengubahan wang haram.
Najib (dua dari kiri) hadir di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur hari ini bagi perbicaraan kes rasuah 1MDB dan pengubahan wang haram.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi di sini hari ini ditamatkan lebih awal bagi membolehkan Ahli Parlimen Pekan itu menghadiri sidang Parlimen.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan perbicaraan dihentikan pada jam 3.15 petang selepas pasukan pembelaan yang mewakili Najib membuat permohonan berkenaan buat kali ketiga.

Semalam, Sequerah menolak permohonan yang diutarakan oleh peguam bela utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan sekali lagi membuat keputusan sama selepas diaju oleh peguam, Wan Aizuddin Wan Mohammed.

Sequerah kemudiannya membenarkan permohonan berkenaan selepas membaca surat daripada Speaker (Dewan Rakyat).

“Jika anak guam anda perlu berada di Parlimen jam 3.30 petang, maka perbicaraan akan diteruskan tanpa rehat tengah hari ini.

“Prosiding akan diteruskan sehingga jam 3.15 petang, selepas itu anak guam anda boleh ke sana,” katanya.

Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!