Tiga majikan didenda benarkan PATI berada di premis

Salah seorang tertuduh (kanan) membayar denda di Mahkamah Sesyen, Kuala Terengganu hari ini.
Salah seorang tertuduh (kanan) membayar denda di Mahkamah Sesyen, Kuala Terengganu hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Seorang majikan didenda RM14,000 manakala dua lagi didenda RM7,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas tuduhan membenarkan warga asing tanpa permit berada di premis mereka.

Keputusan itu dibuat Hakim Nooriah Osman selepas mereka mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 55E (2) akta yang sama.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh, Wan Mohd Faisal Wan Rezali, 37, dipenjara selama tiga bulan manakala dua lagi tertuduh, Mohd Shafari Ngah, 39, dan Lukman Mohammad@Abdullah, 38, dipenjara dua bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Wan Mohd Faisal didakwa membenarkan dua imigran haram warga Indonesia dan Myanmar berada di premisnya di sebuah tapak pembinaan di Kawasan Perindustrian Gong Badak Tambahan, Mukim Kuala Nerus jam 4.40 petang pada 5 Januari lalu.

Mohd Shafari pula didakwa membenarkan seorang warga Kemboja yang telah tamat Pas Lawatan Sosial (PLS) berada di premisnya di sebuah projek membuat tiang larik di Dungun pada 26 Februari lalu jam 12.10 tengah hari.

Seorang lagi tertuduh, Lukman didakwa membenarkan seorang imigran haram warga Bangladesh berada di premisnya di sebuah tapak pembinaan di Kuala Nerus jam 5 petang pada 30 Januari lalu.

Pendakwaan bagi ketiga-tiga pertuduhan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Terengganu, Noraznie Alias manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!