Kerajaan batal penganjuran LIMA'21
KUALA LUMPUR - Penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan AeroAngkasa Langkawi 2021 (LIMA'21) yang sepatutnya berlangsung pada 16 hingga 20 Mac tahun hadapan dibatalkan kerajaan.
Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dikemukakan kerajaan melalui mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Julai lalu susulan pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda dunia ketika ini memberi impak besar bukan sahaja kepada Malaysia tetapi di seluruh dunia.
Menurutnya, kementerian itu bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) selaku penganjur utama LIMA'21 juga sedar akan impak global pandemik Covid-19 yang bukan sahaja dari sudut kesihatan, bahkan memberi kesan besar terhadap sosial dan ekonomi dunia.
"Keputusan ini dibuat berdasarkan justifikasi seperti impak ekonomi akibat penularan wabak Covid-19 yang dilihat memberi kesan besar terhadap jumlah penyertaan pempamer dan pelabur di dalam acara antarabangsa seperti LIMA.
"Selain itu, penganjuran acara berskala besar seumpama ini memerlukan tempoh wajar agar dapat dirancang dengan teliti dan terperinci, lebih-lebih penjenamaan LIMA yang selama ini diklasifikasi sebagai pameran maritim dan aeroangkasa utama di rantau Asia.
"Paling dibimbangi, kos penganjuran LIMA'21 dijangka meningkat mengambil kira keperluan untuk memenuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jurucakap Kementerian Pertahanan turut menegaskan keputusan pembatalan itu dibuat setelah mengambil kira pandangan daripada pihak-pihak pemegang taruh dan pihak berkaitan lain.
Pengenalan LIMA sejak tahun 1991 sangat signifikan dalam usaha membantu menjadikan Malaysia seiring dengan pemangkin dan perkembangan pesat industri pertahanan serantau.
Ia adalah acara antarabangsa yang menarik perhatian bukan sahaja pengunjung tempatan malah pelancong asing terutama peminat industri ketenteraan yang sanggup datang bagi menyaksikan kecanggihan teknologi pertahanan terkini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!