Parlimen digesa gubal undang-undang Anti Lompat Parti
SHAH ALAM - Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menggesa Parlimen menggubal undang-undang Anti Lompat Parti bagi menghalang wakil rakyat melompat parti.
Usul yang dibawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gasing, R Rajiv itu dipersetujui ahli Dewan bagi memastikan wakil rakyat yang melompat parti mengosongkan kerusi DUN atau Parlimen.
Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Ng Suee Lim berkata, perkara ini dicapai sebulat suara dalam sidang dewan.
"Rakyat akan marah jika wakil rakyat yang dipilih melalui pilihan raya lompat parti dan khianat. Jadi kita menggesa kerajaan Persekutuan menggubal undang-undang Anti Lompat Parti," katanya pada sidang akhbar di ruang media Bangunan Annex Dewan Negeri Selangor hari ini.
Mengulas mengenai perjalanan sidang DUN kali ini beliau berkata, sidang kali ini berjalan lancar.
"Saya memuji sikap ADUN kedua belah pihak, mereka berbahas dalam keadaan profesional dan sekaligus menjaga, mempertahankan maruah dan kewibawaan Dewan Negeri Selangor," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!