Pemuda Pas sedia maafkan BN
KUANTAN- Pemuda Pas menyambut baik seruan kenyataan anak bekas mursyidul Am Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang mahukan anggota parti itu melupakan dendam mereka selama bertahun-tahun kepada BN.
Exco Pemuda Pas Malaysia, Roslan Md Esa berkata, pemuda Pas sedia memaafkan kesalahan BN terhadap Pas seperti mana Rasullulah SAW mengampunkan umatnya, namun mereka perlu mengaku salah dan tunjukkan kejujuran penyesalan terhadap kesalahan yang telah mereka lakukan.
Menurutnya, sifat dendam ini milik ALLAH dan hodoh jika sifat itu ada di dalam jiwa, mampu membinasakan penyatuan umat bukan sahaja di kalangan orang Melayu malah menjejaskan hubungan di antara kaum lain.
“Dengan hubungan yang erat bersama Umno, pihaknya dapat manfaatkan ruang dakwah yang ada maka bila mereka (Umno) menginsafi kesalahan mereka dan mereka sedang lemas, maka kita kena selamatkan mereka.
“Mereka (Umno) kini akur serta menginsafi kesalahan yang telah mereka lakukan dan takkan mereka tengah susah, sakit kita nak tekan tetapi kita perlu berlapang dada dan diharapkan dengan apa yang berlaku ini ada hikmah besar yang akan berlaku,” katanya
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Nik Abduh yang juga ahli Jawatankuasa Pusat Pas yang berucap pada ceramah bersama Pas dan BN di Dataran Sungai Koyan, di sini, malam tadi yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, selain 500 penyokong Pas serta BN
Roslan berkata, dengan membuang sifat dendam terhadap Umno dan BN, akan mampu memfokuskan dan mendatangkan keuntungan terhadap kekuatan permuafakatan umat Islam yang pada dasarnya akan pergi ke titik sama demi membina kembali jati muslim di Malaysia.
Dalam pada itu, ditanya mengenai kemungkinan Pas bergabung dengan Umno, beliau beranggapan perkara tersebut mustahil dan rumit namun istilah kerjasama yang erat itu semakin terjadi bukan sahaja kepada BN bahkan bersedia bekerjasama dengan kerajaan PH jika membawa perkara ke arah kebaikan.
“Kita berganding bahu bekerjasama bersama Umno untuk mewujudkan permuafakatan politik di mana pembangkang akan bersatu hati dengan menghantar satu calon demi menunjukkan jalinan kerjasama erat sebagai pembangkang walaupun berlainan parti dan fahaman.
“Ini dilakukan bagi membuktikan kepada kerajaan bahawa pembangkang mempunyai kekuatan kerjasama yang tersendiri demi membina kembali Malaysia sebagai sebuah negara yang bukan sahaja menjaga kepentingan agama Islam, hak kaum melayu dan bumiputera malah kaum dan agama lain akan turut terbela di negara ini,” katanya.
Sementara itu, Roslan menyeru agar ahli Pas menggunakan pertimbangan rasional dengan mengundi calon BN pada PRK Cameron Highlands, Sabtu ini memandangkan calon PH, yang juga musuh utama Pas ketika ini.
"Kita perlu belajar macam mana nak buka minda kita sama seperti pemimpin kita yang membuka minda mereka. Kita tak buat macam ni sebab mahukan Putrajaya.
"Tapi kerana kita mahukan suasana baharu dalam politik Malaysia. Kita mahukan Pas dan Umno berjaya, untuk bersatu atas nama agama dan negara untuk ambil semula Putrajaya yang dirosakkan oleh Kerajaan PH," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!