Polis cari saksi kemalangan maut
KUALA SELANGOR - Polis meminta orang awam yang menyaksikan kemalangan membabitkan seorang penunggang motosikal di Kilometer 41 Jalan Klang - Teluk Intan, kelmarin tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, mangsa, S Raja, 40, beralamat di Taman Raja Musa, Bestari Jaya, mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk rawatan.
Bagaimanapun, katanya, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 4.15 pagi semalam ketika mendapatkan rawatan di HSB.
"Sekiranya ada pihak yang menyaksikan kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Muhamad Najmi Abd Rahman pada talian 017-8028105 atau balai polis berhampiran," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Ramli berkata, kemalangan membabitkan penunggang motosikal jenis Yamaha SS 110 itu dipercayai berlaku pada jam 7.45 petang kelmarin.
"Bagaimanapun, kejadian hanya disedari pada jam 10.20 malam apabila sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang dalam perjalanan dari arah Kuala Selangor ke Klang melanggar motosikal terbabit.
"Pemandu kereta Perodua Kancil hanya perasan terdapat mangsa di tepi pembahagi jalan apabila turun dari kereta," katanya.
Katanya, siasatan polis di tempat kejadian mendapati tiada sebarang kamera litar tertutup (CCTV) ditemui di situ dan tiada saksi melihat kejadian.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!