Sistem cukai rapatkan jurang kaya, miskin
SHAH ALAM - Sistem percukaian di negara ini perlu ditingkatkan supaya ia lebih progresif untuk merapatkan jurang pendapatan yang semakin melebar antara golongan kaya dan miskin hasil semakan semula nilai purata Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional pada kadar RM2,208.
Penyelidik Kanan Institusi Penyelidikan Khazanah, Hawati Abdul Hamid berkata, ini kerana pada masa ini kadar cukai marginal (cukai tambahan yang dibayar pada unit pendapatan tambahan) tertinggi di Malaysia sekitar 20 peratus.
Menurutnya, jika dibandingkan dengan negara maju lain contohnya United Kingdom, kadar cukai marginal lebih tinggi antara 40 dan 45 peratus.
"Jadi kalau kita nak membetulkan jurang atau kesenjangan ekonomi ini mungkin kita kena tengok dari segi sistem percukaian.
"Tapi saya juga mahu tekankan bahawa kita punya asas cukai pendapatan sangat sempit, sebenarnya masih ramai lagi (rakyat) yang masih belum menyumbang dari segi pembayaran cukai," katanya selaku panelis pada Wacana Siri 180 bertajuk 'PGK: Rakyat Malaysia makin miskin' di Kumpulan Karangkraf di sini malam tadi.
Wacana itu turut dibarisi panelis Pensyarah Kanan Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latif serta Naib Presiden Majlis Belia, Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz serta dan Azlan Shah Nabees Khan selaku moderator.
Mengulas mengenai semakan semula PGK, Hawati berkata, semakan semula itu membolehkan kerajaan membesarkan kumpulan sasaran untuk diberi tumpuan dan dibantu.
Menurut beliau, kerajaan boleh menilai semula program-program kebajikan dan bantuan masyarakat yang ada sekarang serta perlu lebih memahami apa bentuk kekurangan yang dialami isi rumah.
Katanya, ia kerana dalam satu kajian yang dilakukan mendapati golongan B40 bukanlah kumpulan yang bersifat homogen (sama jenis).
"Dalam kumpulan itu terdapat banyak sub grup iaitu hanya kira-kira 20 peratus sahaja mengalami masalah tidak mampu memenuhi keperluan asas.
"Sebaliknya lagi 20 peratus, mereka mengalami pelbagai jenis bentuk kesulitan yang lain yang mungkin tidak memerlukan bantuan yang sama seperti orang yang miskin," katanya.
Tambah Hawati, orang miskin mungkin memerlukan bantuan dalam bentuk pindahan tunai tetapi separuh lagi kelompok B40 yang lain mungkin memerlukan bantuan seperti dalam bentuk peluang pekerjaan dan peluang berniaga.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, sekiranya diselaraskan atau mengambil kira jumlah isi rumah dan di mana mereka tinggal, sebenarnya ia akan mendedahkan bahawa dalam golongan M40 juga mempunyai ciri-ciri kekangan yang dihadapi kelompok B40.
"Mungkin pendapatan mereka tinggi daripada RM4,000 tetapi pada masa sama mereka ada ramai anak, jadi kos sara hidup isi rumah lebih tinggi tetapi disebabkan paras yang ditetapkan, mereka tidak dapatlah akses kepada sesetengah bantuan yang diwujudkan kerajaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!