Bangsa berakhlak faktor pembinaan tamadun berjaya
KANGAR - Bangsa yang berakhlak serta membasmi sifat egoistik dan individualistik di dalam masyarakat adalah antara faktor pembinaan kepada tamadun dan negara berjaya.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, sebahagian individu hanya disibukkan dengan cita-cita peribadi serta melupakan penyakit-penyakit yang dideritai oleh masyarakat umum di sekitarnya.
Namun, Islam hadir sebagai agama yang sentiasa menyucikan jiwa, mempromosikan keindahan perilaku, kecerdasan, keramahan dan kelapangan dada kepada seluruh manusia.
"Selain itu, takwa pula dapat disimpulkan di sini bukan bererti hanya mengerjakan solat atau puasa, menjauhi riba atau khianat semata, bahkan lebih daripada itu. Takwa merupakan disiplin diri untuk berani bersikap baik dalam ibadah, muamalah dan pelbagai perilaku di dalam kehidupan. Oleh itu, kesalahan lisan bukan hanya dilakukan manusia biasa, bahkan turut dilakukan oleh ahli agama.
"Akhirnya mereka juga semakin jauh dan terlena dengan diri sendiri," kata baginda ketika berkenan berangkat merasmikan Wacana Jamalullail: Kedudukan Istimewa Manhaj Ahli Sunah Waljamaah dalam Perlembagaan Negeri Perlis yang diadakan di Auditorium Dr Syed Mahmood, Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, dekat sini, petang semalam.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, ironisnya, mereka yang mengaku taat beragama, hendaklah berpegang dengan Manhaj Ahli Sunnah dan menjauhi pegangan selain dengannya.
"Apabila rakyat berpegang dengan Manhaj Ahli Sunnah maka akan lahirlah sebuah Kesatuan Ummah.
"Antara sunnah Rasulullah SAW ialah jamaah kerana sunnah adalah asas jamaah dan jamaah adalah cara perjalanan sunnah yang sempurna. Ingatlah bahawa, hanya sunnah sahaja, sama ada isi mahupun caranya dapat menguatkan jamaah," titah baginda.
Wacana tersebut juga sekali dengan Dua Dekad Pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin sebagai Raja Perlis dan Dua Dasawarsa Pemahsyuran Tuanku Syed Faizuddin Putra sebagai Raja Muda Perlis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!