Pena sokong KPM tidak laksana PPSMI
SHAH ALAM - Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) menyokong ketegasan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tidak memperkenalkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah kebangsaan.
Presidennya, Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata, dasar yang pernah 'dipaksakan' oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (ketika itu Perdana Menteri) sejak 2003 dan kemudian dihapuskan pada 2013 terbukti memberikan kesan buruk kepada pendidikan kebangsaan.
Menurutnya, bukan sahaja kerugian dari segi kewangan, malah negara mengalami kerugian besar dari segi pencapaian murid dalam peperiksaan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.
"Kesan lebih besar adalah terhadap murid luar bandar yang tidak mempunyai kemudahan dan prasarana yang mencukupi untuk tujuan tersebut.
"Pena yakin, dengan ketegasan ini iklim pendidikan negara akan bertambah baik tanpa diganggu oleh ketidakpastian keputusan untuk memperkenalkan PPSMI semula," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: KPM tidak akan perkenal semula PPSMI
Keputusan tidak laksana PPSMI langkah tepat: DBP
Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin dalam sidang Parlimen menerusi jawapan bertulis semalam menjelaskan pendirian kerajaan Perikatan Nasional untuk tidak meneruskan pelaksanaan PPSMI di sekolah sebagaimana dicadangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tahun lalu.
Walau bagaimanapun, Pena berpendapat, dalam masa sama, kepentingan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan tetap perlu diberi perhatian besar.
"Penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid sekolah hendaklah sentiasa dipertingkatkan dengan kaedah yang sesuai tanpa mengorbankan bahasa Melayu yang merupakan teras dalam Perlembagaan Persekutuan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan," katanya.
Sementara itu, Mohamad Saleeh berkata, pihak Pena turut menyokong keputusan KPM untuk meneruskan pengajaran tulisan jawi walaupun dalam kadar yang minimum.
Jelasnya, tulisan jawi merupakan khazanah nasional yang unik dan perlu menjadi kebanggaan bersama.
ARTIKEL BERKAITAN: Hari Jumaat Hari Jawi
Katanya, pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri bahawa hari Jumaat adalah Hari Jawi merupakan langkah reaktif yang sangat baik.
"Pelbagai pihak, khususnya yang berkaitan dengan agensi kerajaan, sepatutnya mengambil inisiatif mempromosikan tulisan jawi sebagai tanda sokongan kepada usaha memartabatkan tulisan jawi.
"Tidak harus ada unsur kebimbangan pada pihak bukan Melayu kerana tulisan jawi bukannya unsur agama Islam tetapi hanya satu aset budaya yang menjadi alat komunikasi.
"Penguasaan tulisan jawi merupakan satu kelebihan bagi rakyat di negara ini di samping tulisan rumi yang sedia menjadi medium tulisan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!