Ibu galas tugas ketua keluarga sara enam anak OKU
MACHANG - Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Itulah nasib Zamilah Ismail, 40, apabila terpaksa menggalas tugas sebagai ketua keluarga dengan menjual sayuran kampung demi menyara enam anaknya yang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran.
Ibu kepada tujuh orang anak berusia lingkungan 10 hingga 26 tahun itu berkata, dia terpaksa mengambil alih tanggungjawab tersebut selepas suaminya, Ahmad Awang Noor, 49, diserang penyakit asma kronik sehingga tidak mampu berniaga kuih pau sejak lima tahun lepas.
Zamilah berkata, dia juga terpaksa berulang alik sejauh 20 kilometer menaiki motosikal empat kali seminggu dari rumahnya ke sebuah stesen minyak yang terletak di Kok Lanas untuk menjual sayuran yang dikutip di tepi sungai berdekatan rumahnya, yang mampu memperoleh sekitar RM20 hingga RM30 sehari bergantung kepada hasil jualan.
“Antara hasil yang diperoleh termasuk pucuk paku, jantung pisang serta rebung dan pada kebiasaannya saya akan mula berniaga sekitar 1 tengah hari dan akan pulang sebaik barang jualan habis iaitu sekitar 5 petang," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Pangkal Nangka, Pulai Chondong di sini.
Tambah menyedihkan, anak bongsunya, Siti Natasya, 10, yang satu-satunya bukan dilahirkan OKU turut menderita penyakit leukemia serta masalah jantung sejak lahir dan perlu melakukan pemeriksaan susulan setiap dua bulan sekali di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana mendapat bantuan setiap bulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan turut menerima bantuan rumah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Zamilah berkata, suaminya menerima bantuan JKM sebanyak RM350 sebulan dan setiap anak OKUnya pula menerima RM150 setiap bulan selain bergantung kepada hasil jualan yang diperoleh.
“Namun, ada ketika wang bantuan yang diterima tidak mencukupi dan kadang-kadang jika kehabisan wang saya sekeluarga terpaksa makan nasi dengan hanya berlaukkan telur untuk mengalas perut.
Beliau berkata, keutamaan bantuan yang diperlukan ketika ini adalah motosikal roda tiga bagi memudahkannya membawa barang jualan dan lebih selesa berulang alik untuk berniaga berbanding motosikal biasa yang digunakannya sekarang.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0302141000092799 atas nama suaminya Ahmad Awang Noor atau menghubungi anak keduanya Azlina, 23, di talian 0198909720. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!