'Kita1Keluarga' bantu keluarga di Lembah Klang terjejas Covid-19
KUALA LUMPUR - Memandangkan situasi pandemik koronavirus (Covid-19), sebuah pertubuhan kemanusiaan bukan berasaskan keuntungan, Tzu Chi Kuala Lumpur dan Selangor melancarkan program bantuan ‘Kita1Keluarga’ untuk menggerakkan rakyat Malaysia membantu golongan yang memerlukan.
Melalui kempen derma tersebut, pertubuhan itu menyasarkan mengumpul dana yang mencukupi untuk 3,000 keluarga miskin di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya bagi menyediakan bantuan kewangan selama tiga bulan berturut-turut dari September hingga November.
Dianggarkan setiap isi rumah akan menerima bantuan bulanan antara RM500 dan RM800 sebulan bergantung kepada situasi keluarga berkenaan dan akan dikunjungi sukarelawan Tzu Chi dalam tempoh tiga bulan tersebut.
Pemohon mesti memenuhi kriteria tertentu iaitu mereka mestilah warganegara Malaysia atau penduduk tetap yang tinggal di Kuala Lumpur, Selangor atau Putrajaya dan pendapatan terjejas disebabkan pandemik itu dengan jumlah isi rumah berkurangan 50 peratus atau lebih.
Selain itu, jumlah pendapatan keluarga sebelum pandemik tidak boleh melebihi RM3,000 atau jumlah pendapatan peribadi kurang daripada RM1,500 jika hanya seorang dalam isi rumah (yang bekerja) dan mereka kini tidak menerima bantuan tunai daripada mana-mana badan bukan kerajaan.
“Virus Covid-19 tidak membezakan antara muda atau tua, yang kaya atau miskin dengan semua orang berisiko untuk dijangkiti. Kita memerlukan kekuatan setiap rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk tampil ke hadapan, bersatu teguh dan mendekati rakyat Malaysia yang amat memerlukan bantuan untuk menyara kehidupan.
“Dengan kasih sayang, belas kasihan dan pemberian ikhlas, kita boleh meningkatkan semangat kemanusiaan dan keikhlasan untuk mewujudkan keamanan dan keharmonian dalam masyarakat kita. Dengan berbuat demikian, kita bersatu teguh sebagai satu bangsa untuk mengatasi gelombang pandemik ini,” menurut Tzu Chi dalam satu kenyataan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!