Tiga beradik menangis tiada duit bayar ikat jamin
MELAKA TENGAH - Suasana hiba menyelubungi Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh di sini, hari ini apabila tiga tertuduh membabitkan kes samun menangis ketika membuat rayuan mengurangkan wang jaminan.
Ketiga-tiga tertuduh yang juga adik-beradik termasuk seorang remaja sambil ditemani bapa mereka menangis dan berulang kali menyebut tidak mempunyai wang sehinggakan tertuduh lain berada dalam kandang pesalah turut menitiskan air mata.
Terdahulu, tiga beradik yang berusia 22, 21 dan 13 tahun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Norma Ismail atas pertuduhan menyamun jiran sebelah rumah, dua minggu lalu.
Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa melakukan samun berkumpulan terhadap seorang lelaki warganegara Bangladesh, Ahomed Jibon, 27, dengan merampas wang tunai mangsa berjumlah RM10 di sebuah rumah taman di Ayer Keroh Height jam 3 petang, 10 Januari lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mazuin Hashim ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan RM20,00 dikenakan terhadap setiap tertuduh.
Bagaimanapun, selepas mendengar rayuan tertuduh, mahkamah membenarkan mereka diikat jamin RM3,000 dan menetapkan kesi disebut semula 25 Februari ini bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!