APMM tahan lapan PATI dalam bot nelayan tempatan

Tiga bot yang dikendalikan PATI warga Indonesia ditahan APMM Perak untuk siasatan lanjut. - Foto: Ihsan pembaca
Tiga bot yang dikendalikan PATI warga Indonesia ditahan APMM Perak untuk siasatan lanjut. - Foto: Ihsan pembaca
A
A
A

LUMUT - Tiga bot nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada kedudukan lapan batu nautika dari Barat Laut Pulau Katak di sini Selasa lalu kerana bersekongkol dengan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Operasi menerusi Ops Benteng Laut yang diketuai Timbalan Operasi APMM Perak, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zin antara jam 11.25 malam dan 12.25 tengah malam itu turut menahan lapan orang PATI dalam bot berkenaan.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, PATI warga Indonesia berusia 25 hingga 41 tahun itu didapati bekerja sebagai nelayan bagaimanapun gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

“Mereka ditahan atas kesalahan melanggar syarat sah lesen iaitu menggajikan kru warga asing dengan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bot bersama tekong dan awak-awak kemudian diiring masuk ke jeti Kampung Acheh untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!