Mayat remaja lemas ditemukan

Mayat remaja lelaki Indonesia yang terjatuh ke dalam longkang di Taman Harmoni Indah, Balakong, Kajang ditemukan hari ini. Foto: Bomba Selangor
Mayat remaja lelaki Indonesia yang terjatuh ke dalam longkang di Taman Harmoni Indah, Balakong, Kajang ditemukan hari ini. Foto: Bomba Selangor
A
A
A

KAJANG - Mayat seorang remaja lelaki warga Indonesia berusia 14 tahun yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Taman Harmoni Indah, Balakong, di sini ditemukan hari ini.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Bomba Zulfikar Jaffar berkata, mayat remaja terbabit dikenali Rico Budi Saputra ditemukan pada jam 12.25 tengah hari tadi pada jarak satu kilometer dari lokasi kejadian.

“Seramai 40 pegawai dan anggota bomba terlibat dalam operasi ini selain bantuan daripada agensi lain seperti polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Operasi disambung semula sejak jam 8 pagi tadi dengan menumpukan di tiga sektor pencarian sebelum mayat mangsa berjaya ditemukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, seorang pegawai dan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn dikejarkan ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 4.47 petang.

Dalam kejadian itu, rakan mangsa berusia 12 tahun terselamat.

Jarak pencarian merangkumi satu kilometer (km) menyusuri salur air dan terowong air dari lokasi terakhir mangsa yang selamat ditemui.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!