Jawatankuasa kaji naikkan julat kategori gaji pekerja profesional

Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2019 peringkat kementerian di Kementerian Sumber Manusia hari ini. - Foto Bernama
Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2019 peringkat kementerian di Kementerian Sumber Manusia hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Kementerian Sumber Manusia akan mewujudkan jawatankuasa bagi mengkaji kenaikan julat kategori gaji pekerja asing profesional yang memohon bekerja di Malaysia, kata Menterinya M. Kula Segaran.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan melihat sama ada pekerja asing profesional hanya boleh memohon pekerjaan bergaji RM5,000 ke atas sahaja, berbanding RM3,000 ke RM5,000 pada masa ini.

Katanya, kategori gaji RM3,000 hingga RM5,000 sepatutnya boleh diisi oleh pekerja tempatan.

"Kategori gaji ini boleh diisi dengan mudah oleh rakyat Malaysia sendiri. Kenapa kita mahu pekerja asing pula mengisinya," katanya kepada pemberita selepas melawat TalentCorp di sini hari ini.

Katanya, kementeriannya sentiasa meletakkan keperluan rakyat Malaysia terlebih dahulu, namun turut mengalu-alukan pelabur asing dan kepakaran global.

Dalam pada itu, Kula Segaran berkata, sebanyak 20 peratus kenaikan dicatatkan dalam permohonan Program Kepulangan Pakar, sejak Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan.

Beliau berkata, kebanyakan permohonan adalah dalam bidang pendidikan, pembuatan dan perkhidmatan.

Katanya, ia menunjukkan indikasi positif golongan profesional Malaysia yang berada di luar negara terhadap ekonomi negara dan pentadbiran kerajaan baharu.

Artikel Berkaitan:

"Biasanya kira-kira 400 hingga 500 (permohonan) tetapi tahun ini dijangka kami boleh mencapai 1,000 (permohonan) kerana bilangan pemohon yang meningkat dengan drastik,” katanya.

Kula Segaran berkata dianggarkan sejumlah sejuta rakyat Malaysia bekerja di luar negara antaranya atas faktor gaji yang tinggi dan pengalaman kerja di peringkat antarabangsa. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!