Pemilihan Bersatu: Separuh calon bakal dilucut keahlian

Pemilihan Bersatu pada tahun ini dijangka kecoh susulan terdapat kumpulan yang menyokong fraksi Dr Mahathir Mohamad dijangka mengganggu kedudukan Muhyiddin sebagai pemimpin utama parti itu.
Pemilihan Bersatu pada tahun ini dijangka kecoh susulan terdapat kumpulan yang menyokong fraksi Dr Mahathir Mohamad dijangka mengganggu kedudukan Muhyiddin sebagai pemimpin utama parti itu.
A
A
A

SHAH ALAM - Lebih separuh daripada keseluruhan 404 calon yang bertanding bagi beberapa jawatan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini berdepan dengan tindakan dilucutkan keahlian serta-merta pada minggu hadapan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata, tindakan tegas itu diambil kerana mereka didapati terlibat dengan kumpulan ‘Blackout’ yang merupakan gerakan menjatuhkan parti dengan menjadi penyokong kuat kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, pengumuman itu dijangka dibuat Lembaga Disiplin Bersatu selepas mesyuarat MPT Bersatu pada Selasa ini, sekali dengan keputusan perlucutan keahlian secara automatik ratusan ahli parti itu di peringkat akar umbi.

“Selesai mesyuarat MPT Bersatu itu nanti, terdapat senarai nama ahli yang akan dilucutkan keahlian secara automatik tanpa perlu melalui perbicaraan Lembaga Disiplin parti.

“Jumlah senarai nama berkenaan mencecah ratusan orang, bahkan lebih separuh daripada mereka yang dikenal pasti terlibat dengan puak ‘Blackout’ itu turut menjadi calon bagi bertanding jawatan tertinggi parti termasuk sayap Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Srikandi.

“Dengan terlucutnya keahlian mereka, maka status pencalonan mereka pada pemilihan parti juga akan tergugur secara automatik,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Berdasarkan semakan senarai nama calon layak bertanding dalam pemilihan Bersatu yang dikeluarkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) kelmarin, sejumlah 404 pemimpin dijangka merebut kesemua jawatan tertinggi parti termasuk sayap parti seperti Armada dan Srikandi.

Sementara itu, Muhammad Faiz berkata, Lembaga Disiplin parti mempunyai asas untuk memecat semua ahli yang terlibat dengan kumpulan ‘Blackout’ secara automatik tanpa melalui perbicaraan terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Faiz Na'aman
Muhammad Faiz Na'aman

Ini kerana, katanya, Jawatankuasa Khas Sementara Tindakan Disiplin parti sudah membantu menyediakan kesemua laporan berserta bukti lengkap pelanggaran disiplin ahli-ahli berkenaan untuk diserahkan kepada Lembaga Disiplin parti.

“Jawatankuasa khas sementara itu sememangnya ditugaskan untuk membantu Lembaga Disiplin parti sejak bermulanya kontroversi perlucutan keahlian serta-merta Dr Mahathir bersama lima pemimpin utama parti itu pada awal bulan lalu kerana menyokong blok pembangkang.

“Sepatutnya pengumuman itu dilakukan hari ini (semalam) tetapi keputusan itu akhirnya ditunda kerana ramai ahli MPT mahukan perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat parti terlebih dahulu,” katanya.

Muhammad Faiz turut mendedahkan Jawatankuasa Khas Sementara Tindakan Disiplin parti sudah mengenal pasti lebih ramai ahli akar umbi yang terbabit dengan ‘Blackout’ namun tindakan disiplin tidak dapat diambil terhadap mereka kerana kekurangan bukti sahih.

Di sebalik perkembangan mengejutkan itu, Muhammad Faiz berkata, beliau masih yakin lebih 300,000 ahli akar umbi parti itu masih menyokong kepimpinan Muhyiddin sebagai Presiden dan Pemangku Pengerusi parti itu bagi mengemudi Bersatu ke arah lebih baik.

“Dakwaan mengatakan ramai ahli akar umbi Bersatu akan meninggalkan parti untuk menyokong fraksi Dr Mahathir tidak betul, sebaliknya perkara itu sekadar digembar-gembur oleh kebanyakan cybertrooper parti yang fanatik kepada Dr Mahathir.

“Kelompok cybertrooper ini memang diakui banyak mengawal grup halaman rasmi parti sebelum ini, tetapi hakikat sebenar adalah majoriti ahli biasa parti ramai yang pro Muhyiddin,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!