Tiada lagi warga asing

Hanya pekerja tempatan diterima bekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur ketika ini.
Hanya pekerja tempatan diterima bekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur ketika ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemerkasaan Undang-Undang Kecil (UUK) 16 Pasar Borong (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2002 iaitu tiada lagi warga asing terlibat dalam sektor tersebut benar-benar membuka peluang pekerjaan kepada warga tempatan yang terjejas dan hilang pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pekerja Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL), Hamidon Juarmai, 47, berkata, sebelum ini dia bekerja sebagai pemandu teksi namun dia sukar untuk mencari pendapatan harian dengan duit yang diperoleh sekadar cukup membayar sewa teksi.

“Nak tak nak saya terpaksa cari kerja lain sebab industri teksi memang suram sampaikan hasil sehari setakat lepas bayar sewa teksi sebanyak RM40.

“Berbanding kerja di pasar borong sekarang saya dapat gaji harian RM90 dan mula kerja dari jam 9.30 pagi hingga 7 petang,” katanya ketika ditemui di PBKL di sini semalam.

Hamidon bekerja sebagai penolak troli di Pasar Borong Kuala Lumpur selepas pendapatan membawa teksi berkurangan sejak PKP.
Hamidon bekerja sebagai penolak troli di Pasar Borong Kuala Lumpur selepas pendapatan membawa teksi berkurangan sejak PKP.

Bagi Tarmizi Darsim, 29, larangan aktiviti pasar pagi dan malam pada awal PKP menyebabkan dia buntu apabila tiada pendapatan hampir tiga bulan selepas bergantung penuh dengan berniaga ubi keledek di pasar pagi sekitar Pasar Kajang.

Menurutnya, tanpa berfikir panjang dia terus ke PBKL apabila mengetahui di pasar itu memerlukan tenaga kerja tempatan selepas larangan warga asing bekerja di situ.

“Kali pertama datang, saya tidak diterima bekerja kerana tak ada sijil Covid-19. Kali kedua saya cuba lagi dengan membawa surat kesihatan barulah saya diterima bekerja.

Artikel Berkaitan:

“Bayangkan tiga bulan tidak bekerja, tak ada duit tapi lepas dua hari kerja di sini dapat bawa pulang RM160. Saya jadi gembira sebab boleh beli susu dan lampin anak,” katanya.

Seorang lagi pekerja di PBKL, Lim Wai Kent, 31, berkata, dia bekerja dengan dua majikan berbeza pada syif pagi iaitu dari jam 11 pagi hingga 7 petang dan syif malam (12 tengah malam hingga 6 pagi) dengan pendapatan harian mencecah hampir RM200.

Lim Wai Kent
Lim Wai Kent

“Kebetulan rumah saya dekat dengan PBKL jadi saya kira tak salah ambil peluang untuk bekerja di sini memandangkan pasar borong memang nak pakai pekerja tempatan.

“Cuma saya kena bahagi masa sebab sehari buat dua kerja, jadi biasanya selepas habis waktu kerja saya akan rehat untuk dapatkan tenaga bekerja semula pada syif malam, buat masa ini saya masih mampu bertahan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!