Cadangan PRU, PRN Sarawak dibuat serentak boleh dipertimbang

Rais Yatim
Rais Yatim
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dengan Pilihan Raya Umum (PRU) secara serentak boleh dipertimbang sekiranya ia dibuat mengikut lunas undang-undang.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Senator Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, cadangan itu juga hanya boleh diteruskan jika Ketua Menteri Sarawak bersetuju untuk menasihatkan Yang di-Pertua Negeri Sarawak berhubung hal tersebut.

“Tetapi sebelum itu harus difahami juga bahawa yang menentukan Parlimen boleh dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah ia atas nasihat Perdana Menteri.

“Yang kedua, usia (tempoh) Parlimen biasanya disusul bersama oleh usia Dewan Undangan Negeri (DUN) kecuali dalam situasi-situasi khas seperti di Sarawak. Lain-lain negeri semuanya sama tetapi hak membubarkan DUN jatuh kepada kerajaan negeri masing-masing dan tidak terikat dengan pembubaran Parlimen di Pusat.

“Ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah, kita dapati hak untuk bubarkan DUN harus dikaji dan diasaskan kepada keperluan negeri masing-masing. Sebagai contoh di Negeri Sembilan, jika kerajaan PH yakin atau mendapati kepercayaan sudah tipis, maka menteri besar boleh syorkan kepada Yang di-Pertuan Besar untuk bubar DUN,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Dalam pada itu, Rais berkata, justeru terpulang kepada Sarawak jika hendak mengadakan pilihan raya negeri secara serentak dengan Pusat tetapi ia bergantung kepada tempoh yang dibenarkan Perlembagaan.

“Jadi dalam tempoh lima tahun memang boleh diadakan apa-apa pilihan raya tapi kena ingat, sebelum sesebuah dewan dibubar maka tempoh untuk melaksanakan pilihan raya adalah 60 hari.

“Asal syarat 60 hari dipatuhi melalui mana-mana pembubaran, maka bolehlah dibuat seperti dicadangkan. Jadi cadangan James itu bukanlah sesuatu yang tidak boleh diterima,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sekiranya kedua-dua PRN Sarawak dan PRU dilaksanakan serentak ia dilihat akan memudahkan jentera pilihan raya untuk membuat pengawasan selain dapat mengurangkan kos perbelanjaan negara.

“Jika dibuat serentak, perbelanjaan negara tidak akan mengalami komplikasi dan ia boleh dijadikan sebagai perbelanjaan sampingan kepada urusan membubarkan Dewan Rakyat dan DUN.

“Malah dalam keadaan kedudukan kewangan negara yang tidak berapa baik pada ketika ini, cadangan seperti itu boleh diperhalusi. Jangan berleluasa sangat politik sehingga merosotkan punca kewangan serta tidak berbelanja dengan hemah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!