Besarnya nikmat nilai syukur

A
A
A

SUDAH menjadi kelaziman, kita hanya memanjat syukur setelah kita peroleh apa yang dikehendaki dan sangat jarang bersyukur dengan ujian yang dihadapi. Pendek kata, nilai syukur belum menjadi nikmat kepada kita kerana masih bersyarat.

Walhal, nikmat bersyukur itu sangat luas dan dikurniakan kepada sesiapa sahaja tanpa syarat oleh ALLAH SWT. Jika bersyarat, sudah tentu nilai syukur hanya dinikmati oleh golongan berharta, berpangkat, rupawan dan sihat tubuh badan. Maka, bagi mereka yang sebaliknya, mereka ‘tidak layak’ untuk menikmati nilai syukur kerana penuh dengan kepedihan dan kesedihan. Jika sebeginilah tanggapan terhadap nilai syukur, kita sebenarnya sangat jauh untuk mencapai martabat syukur.

Sebetulnya, martabat syukur begitu tinggi sehinggakan Nabi Sulaiman berdoa kepada ALLAH SWT: “Wahai Tuhanku, ilhamkan aku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku.” (Surah An-Naml, 27:19).

Ini kerana ALLAH SWT berfirman: “Dan Kami akan memberikan balasan pahala kepada orang-orang bersyukur.” (Surah Al-Imran, 3:145). Namun begitu, “...dan sedikit sekali daripada hamba-hamba Ku yang bersyukur.” (Surah Saba’. 34:13).

Memandangkan iblis telah mengetahui darjat kemuliaan syukur, maka dia telah menjadikan nikmat syukur sebagai sasarannya bagi mencegah manusia untuk bersyukur kepada ALLAH SWT. “Kemudian aku datangi mereka dari hadapan mereka serta dari belakang mereka dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.” (Surah Al-Araf, 7:17). Ini bermakna, kegagalan kita bersyukur kerana telah termasuk ke dalam perangkap iblis yang sengaja mendorong kita menerusi bisikan dan hasutannya agar dijauhi sifat syukur.

Selain perspektif agama, ahli psikologi juga menyifatkan nilai syukur membantu seseorang itu meningkatkan tahap self-acceptance atau penerimaannya terhadap sesuatu.

Apabila mereka boleh menerima, maka bicaranya mengenai hidup telah menjadi semakin luas dan tidak terkongkong kerana mereka sudah boleh mengutip nikmat kecil yang mereka terima dan mula memupuk nikmat itu menjadi sesuatu yang besar dan signifikan dalam kehidupan mereka.

Berkaitan dengan nilai syukur, sebetulnya kita harus selarikan apa yang kita niat, sebut dan lakukan. Pun begitu, tidak ramai yang dapat seimbangkan kesemua komponen tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ini bermakna, selagi kita masih belum dapat seimbangkannya, kita sebenarnya belum mencapai nikmat syukur kerana menipu diri sendiri.

Apa tidaknya, orang lain nampak kita begitu banyak membantu masyarakat, walhal kelingking masih berkait kerana menyembunyikan tujuan yang lebih besar untuk mengejar kedudukan. Malah, ada juga yang begitu serius menyantuni ramai orang, namun hanya untuk mendapat undi semata-mata.

Ingatlah, selagi kita masih mendongak ke atas tanpa memandang ke bawah, selagi itulah kita amat payah untuk bersyukur.

Pada hemat saya, dengan apa yang telah kita miliki di Malaysia, sewajarnya kita amat bersyukur dengan semua anugerah itu.

Pun begitu, segala pujian kepada negara kita sedikit pun tidak dijadikan teladan dan pedoman, sebaliknya terpekik dan melolong masih menguasai diri walaupun dalam institusi Perlembagaan yang dihormati.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi, Universiti Malaysia Perlis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!