Tersilap langkah nyawa melayang
KUALA LUMPUR - Peristiwa penahanan pemimpin kanan cawangan Parti Komunis Malaya di utara Semenanjung sekitar awal tahun 80-an sentiasa segar dalam ingatan seorang pesara polis, Datuk Paul Kiong, 76.
Menurut Paul, sepanjang 34 tahun berkhidmat sebagai pegawai polis, peristiwa itu sentiasa diingati kerana kejayaannya menahan pemimpin komunis dan beberapa lagi anggota komunis yang menyerah diri walaupun nyawa umpama di hujung tanduk.
Bercerita lanjut, katanya, beliau berjaya menahan seorang pemimpin Parti Komunis Malaya, namun pada mulanya tahanan itu tidak memberikan kerjasama berkongsi maklumat dan bertindak ‘mogok’ lapar.
Bagaimanapun, beliau berkata, pada hari kelima ditahan, pengganas komunis itu bersedia menawarkan diri untuk menyalurkan bantuan.
“Saya minta dia bawa saya ke hutan untuk bawa beberapa rakannya untuk menyerah diri. Tak sangka dia setuju dengan permintaan saya itu.
“Jadi malam itu, kami bergerak ke hutan dengan menaiki kereta. Sampai di lokasi, saya letak kereta di pinggir hutan sebab tak boleh masuk, dia seorang saja yang masuk ke dalam hutan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penghargaan Pahlawan sempena Hari Pahlawan oleh Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur di Desa Petaling di sini semalam.
Paul berkata, situasi bersendirian di dalam kereta di pinggir hutan yang gelap hampir setengah jam itu merupakan detik paling mencemaskan kerana kemungkinan nyawanya terkorban.
“Tak lama lepas itu, muncul pemimpin pengganas komunis itu bersama rakan-rakannya yang menyerah diri terus masuk ke kereta.
“Sebaik mereka masuk ke kereta, saya terus pandu ke kem. Di dalam kereta kami tak bercakap apa-apa, namun jauh dalam sudut hati, saya lega kerana apa yang dilaksanakan berjaya tanpa sebarang pertumpahan darah,” katanya.
Menurutnya, beliau gembira matlamatnya untuk memastikan pengganas komunis menyerah diri tercapai tanpa melibatkan pertumpahan darah.
“Ini bukan tugas mudah. Saya merisikokan nyawa saya, andai ada sedikit tersilap langkah pasti nyawa melayang.
“Namun berkat ketabahan dan semangat kental untuk memastikan elemen subversif komunis ini tumpas, saya pastikan setiap apa dilaksanakan akan berjaya dengan perancangan rapi,” katanya.
Sementara itu, Presiden Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, majlis itu diadakan sempena mengenang jasa wira negara sempena Hari Pahlawan yang bakal disambut tidak lama lagi.
“Kita jemput Datuk Paul Kiong yang merupakan insan yang banyak berjasa menentang pengganas komunis suatu ketika dahulu sekali gus berjuang dalam memastikan keharmonian dan keamanan dapat dikecapi ketika ini.
“Beliau juga merupakan insan yang menerima pingat Bintang Kehormatan Seri Pahlawan Gagah Perkasa yang merupakan antara pingat tertinggi negara,” katanya.
Katanya, program diadakan dapat memberi pengetahuan khususnya kepada generasi muda mengenai jasa wira-wira negara yang berjuang demi keamanan negara.i Desa Petaling semalam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!