Kerajaan Johor bincang isu tangani transgender

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi pada sidang akhbar Kaunter Terbuka Yayasan Sejahtera Kulai, untuk golongan miskin tegar, ibu tunggal miskin di Ema Cafe, Bandar Putra Kulai hari ini. Foto: Bernama
Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi pada sidang akhbar Kaunter Terbuka Yayasan Sejahtera Kulai, untuk golongan miskin tegar, ibu tunggal miskin di Ema Cafe, Bandar Putra Kulai hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KULAI - Kerajaan Johor akan membincangkan mengenai pelaksanaan penguatkuasaan dan tarbiah (pendidikan) melibatkan golongan transgender pada mesyuarat penuh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) pada 28 Julai ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri Tosrin Jarvanthi berkata, pelaksanaan penguatkuasaan dan tarbiah itu nanti akan diputuskan oleh Majlis Fatwa Negeri Johor yang dipengerusikan Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad.

“Sebarang keputusan (penguatkuasaan dan tarbiah) akan diputuskan oleh Majlis Fatwa...saya selaku Exco sendiri tidak boleh membuat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Kaunter Terbuka Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai dan Yayasan Sejahtera Kulai di sini hari ini.

Tosrin berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kerajaan Johor akan mengikut langkah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang diberi kebenaran menjalankan penguatkuasaan dan tarbiah dengan cara berhemah terhadap golongan transgender oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri baru-baru ini.

Sementara itu, mengenai kaunter terbuka terbabit, Tosrin yang juga ADUN Bukit Permai berkata, ia dibuka setiap Sabtu bermula jam 8 pagi hingga 10 pagi dan pada Selasa di Pasar Tani Jalan Kenari dari jam 4.30 petang hingga 6.30 petang.

Menurutnya, apa jua masalah melibatkan penduduk seperti kebersihan, kesihatan, bantuan dan kerosakan jalan boleh diadukan di kaunter berkenaan untuk diambil tindakan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!