LZS pertimbang bantuan bersesuaian untuk pakcik jagung
SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan mempertimbangkan bantuan bersesuaian kepada keluarga peniaga jagung di Selayang yang video pertengkarannya dengan anggota penguat kuasa tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Abdul Basith Hamid berkata, pihaknya akan menyantuni anak keluarga itu yang masih bersekolah dengan bantuan pendidikan dan bantuan sewa rumah untuk meringankan beban mereka sekeluarga.
Menurutnya, LZS juga akan mempertimbangkan bantuan perubatan bagi membolehkan peniaga jagung warga emas berkenaan mendapatkan rawatan penyakit dihidapinya setelah mendapat pengesahan perubatan dari hospital.
“Hasil siasatan dijalankan, LZS mendapati warga emas ini merupakan pemastautin tetap (PR) yang mempunyai tujuh orang tanggungan termasuk isteri. Dua orang anaknya menyambung pengajian di institut pengajian tinggi (IPT) manakala tiga orang lagi masih bersekolah.
“Dia didapati menghidap penyakit Retinitis Pigmentosa iaitu masalah penglihatan kabur dan sukar untuk dipulihkan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Abdul Basith berkata, hasil siasatan juga mendapati peniaga jagung dan isterinya menyara hidup dengan menjual buah-buahan bagi membesarkan anak-anak dengan pendapatan tidak menentu bergantung kepada hasil jualan.
Katanya, berdasarkan kepada Garis Panduan dan Syarat Kelayakan Agihan Zakat Negeri Selangor mendapati keluarga tersebut layak didaftarkan sebagai asnaf miskin setelah melepasi haddul kifayah (garis kecukupan) ditetapkan.
Jelasnya, warga emas berkenaan didapati memenuhi syarat umum kelayakan agihan zakat iaitu individu atau keluarga mestilah beragama Islam dan warganegara Malaysia atau pemastautin tetap.
“Walaupun warga emas ini berstatus pemastautin tetap namun bantuan zakat disalurkan atas dasar anak-anaknya merupakan warganegara Malaysia yang beragama Islam dan wajib dibantu agar keperluan kebajikan mereka dipenuhi.
“Bantuan zakat lain akan disalurkan berdasarkan kepada keperluan mereka bergantung kepada syarat dan kelayakan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Penguat kuasa diprovok peniaga jagung berstatus PR
Terdahulu, tular di media sosial beberapa hari lalu video berdurasi dua minit 49 saat menunjukkan seorang lelaki yang berniaga di tepi jalan bertengkar dengan penguat kuasa MPS yang mengundang simpati netizen.
Video mengenai ‘pakcik jagung’ dan penguat kuasa itu turut menarik perhatian penceramah bebas, Ustaz Ebit Lew yang telah melawat peniaga jagung tersebut sebelum berkongsi di Facebooknya.
Bagaimanapun, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam kenyataan balas memaklumkan anggota penguat kuasanya menerima provokasi daripada warga emas yang juga peniaga jagung itu hingga menimbulkan perang mulut antara dua pihak seperti yang tular di media sosial pada Jumaat lalu.
Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, kejadian tersebut berlaku Jumaat lalu sewaktu operasi penguatkuasaan terhadap penjaja tanpa lesen di sekitar Pasar Selayang Jaya.
Menurutnya, peniaga tersebut yang merupakan pemegang kad PR gagal memberikan kerjasama hingga menimbulkan kekecohan semasa penguatkuasaan dilaksanakan.
Semasa operasi dilaksanakan MPS telah mengeluarkan tiga kompaun dan tiga sitaan ke atas peniaga yang terlibat.
Tangkap layar video insiden pertengkaran antara penguat kuasa dengan peniaga jagung yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!