TH salur bantuan RM142,500 kepada mangsa banjir di Kota Belud
KOTA BELUD – Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi Zakat Wakalah Negeri Sabah menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM142,500 kepada 285 buah keluarga yang terjejas akibat banjir kilat di sekitar daerah ini, Jun lalu.
Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mustakim Mohamad berkata, menerusi bantuan itu, setiap keluarga akan menerima sumbangan sebanyak RM500.
Menurutnya, pihaknya berharap sumbangan diberi dapat meringankan beban ahli komuniti dan keluarga yang terkesan akibat bencana banjir kilat tersebut.
“Program ini adalah salah satu daripada aktiviti khidmat masyarakat dalam usaha membantu mereka khususnya yang ditimpa bencana dan memerlukan bantuan.
“Program sebegini merupakan platform terbaik bagi pihak pengurusan TH untuk mendekati masyarakat dan mengeratkan lagi ikatan silaturrahim,” katanya ketika turut sama bergotong-royong membersihkan Masjid Jamek Al-Hashim, Kota Belud, semalam.
Turut hadir pada majlis itu, Pegawai Daerah Kota Belud, Diana Abdullah dan Pengarah TH Negeri Sabah, Datin Nurlaila Said.
Terdahulu beliau berkata, TH juga menganjurkan program gotong-royong membersih dan membaik pulih Masjid Jamek Al-Hashim, Kota Belud yang terjejas teruk akibat bencana banjir kilat hujung bulan lalu.
Katanya, program melibatkan lebih 100 orang terdiri daripada anggota TH Negeri Sabah, ahli jawatankuasa masjid serta ahli komuniti daerah Kota Belud.
“Objektif utama program ini adalah untuk membersih dan membaik pulih keadaan masjid yang terjejas sekali gus mengurangkan beban kerja ahli jawatankuasa masjid.
“TH berharap aktiviti gotong royong dan sumbangan diberi dapat meringankan beban ahli komuniti dan keluarga yang terkesan akibat bencana banjir kilat tersebut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!