Ibu pengsan dicederakan anak angkat

Fatimah menunjukkan laporan polis.
Fatimah menunjukkan laporan polis.
A
A
A

TUMPAT - Seorang anak angkat sanggup mencederakan ibunya dengan menarik leher hingga tersungkur hanya kerana bertanya duit RM150 yang hilang.

Kejadian yang berlaku di Kampung Kebakat Sabtu lalu berlaku apabila suspek berusia 36 tahun berang dengan soalan yang diajukan ibunya.

Fatimah Awang, 72, berkata, dia mengejutkan anaknya tidur jam 6.30 pagi apabila duitnya RM150 yang disimpan di dalam dompet hilang.

"Duit itu untuk tambang kereta sewa ke Pasar Siti Khatijah Kota Bharu kerana saya berniaga kuih.

"Jadi saya mahukan RM50 untuk tambang tetapi ketukan pintu bilik bertalu-talu menyebabkan dia berang.

"Sebaik dia buka pintu, dia terus menarik leher menyebabkan saya tersungkur ke lantai, manakala lututnya di atas belakang bahu saya," katanya.

Fatimah melakonkan semula bagaimana anak angkatnya menarik lehernya.
Fatimah melakonkan semula bagaimana anak angkatnya menarik lehernya.

Fatimah berkata, tindakan agresif anak angkatnya itu menyebabkan dia pengsan seketika bagaimana pun sedar kemudiannya selepas dibantu cucu dan jiran.

Artikel Berkaitan:

"Anak angkat saya penagih dadah, selalu keluar masuk lokap, duit, barang kemas selalu hilang dicurinya.

"Tetapi ini kali pertama dia mencederakan saya menyebabkan bengkak leher dan di pipi serta lutut sakit.

"Dia juga ada ugut mahu tetak saya dengan golok jika saya membuat laporan polis," katanya.

Fatimah memberanikan diri membuat laporan polis kerana rasa selamat dan khuatir akan dicederakan lagi olehnya.

Fatimah tinggal bersama suspek dan suaminya, Ibrahim Mat, 82, tetapi ketika kejadian suaminya tidak dapat berbuat apa-apa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini berakhir 26 Januari ini.

"Suspek positif dadah, kes disiasat di bawah Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!