Pembukaan semula sekolah bukti keprihatinan kerajaan
SANDAKAN - Pembukaan semula sesi persekolahan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan pelajar khususnya di luar bandar yang berdepan masalah capaian internet untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian, kata Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin.
Beliau berkata, walaupun kementerian berusaha mencari jalan untuk menangani masalah itu, kerajaan memutuskan untuk membuka semula sesi persekolahan secara berperingkat dengan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mencegah penularan koronavirus (Covid-19).
“Kami sedar mengenai kekangan dihadapi pelajar di luar bandar. Selain (akses) internet, kebanyakan pelajar tidak mempunyai gajet seperti komputer riba yang boleh mereka gunakan untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian.
“Jadi kami (kerajaan) memutuskan membuka semula sesi persekolahan kerana kami tahu banyak pelajar khususnya di kawasan luar bandar, tidak dapat berkomunikasi dengan guru mereka atau menerima bahan pembelajaran walaupun pelbagai usaha diambil untuk memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran mereka,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Fajar di sini hari ini.
Dalam rangka lawatan dua hari beliau ke Sandakan, Radzi berkata, beliau melawat beberapa sekolah di daerah itu dan berpuas hari bahawa mereka mematuhi SOP sepanjang tiga fasa pertama pembukaan sekolah termasuk pengendalian asrama sekolah.
Pembukaan semula sesi persekolahan bermula dengan pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam Atas pada 24 Jun diikuti prasekolah pada 1 Julai serta Tingkatan Satu hingga Empat dan Tingkatan Enam Rendah dan murid Tahun Lima dan Enam pada 15 Julai manakala murid Tahun Satu hingga Empat dijadual kembali ke sekolah pada 22 Julai. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!