Usaha Malaysia perangi rasuah tarik tumpuan antarabangsa

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Tahunan ke-10 dan Mesyuarat Agung Pertubuhan Pihak Berkuasa Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IAACA) bertemakan '15 Tahun Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu Memerangi Rasuah, Pencapaian dan Prospek' di Pusat Antarabangsa Vienna (VIC) pada Selasa. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Tahunan ke-10 dan Mesyuarat Agung Pertubuhan Pihak Berkuasa Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IAACA) bertemakan '15 Tahun Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu Memerangi Rasuah, Pencapaian dan Prospek' di Pusat Antarabangsa Vienna (VIC) pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

VIENNA - Kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad di Austria dapat mengubah tanggapan dan pandangan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia daripada sebuah negara yang mengamalkan rasuah dan kleptokrasi secara berleluasa kepada sebuah negara baharu, "Malaysia Baharu, Malaysia Bersih".

Perdana Menteri mengambil peluang di pentas antarabangsa, iaitu Persatuan Pihak-pihak Berkuasa Antirasuah Antarabangsa (IAACA) dan Akademi Antirasuah Antarabangsa (IACA), untuk berkongsi pengalamannya mengenai betapa sukarnya hendak memperbaiki kerosakan yang telah berlaku di Malaysia akibat rasuah dan meletakkannya semula pada landasan yang betul sebagai sebuah negara yang demokratik dan progresif.

Dr Mahathir, yang mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Austria memberitahu para perwakilan yang menghadiri Persidangan Agung dan Mesyuarat Agung IAACA ke-10 di sini bahawa IAACA mempunyai peranan penting untuk memerangi rasuah kerana sempadan negara-negara sangat poros dan kerjasama antarabangsa boleh membantu membanteras rasuah sebagaimana pengalaman Malaysia menangani skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dr Mahathir juga mengakui bahawa apa yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas memenangi pilihan raya umum pada bulan Mei tahun lepas ialah membina semula jentera kerajaan dan menggugurkan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang secara terang-terangan dan secara terbuka memberi sokongan politik kepada Barisan Nasional - parti gabungan yang telah memerintah Malaysia sejak mencapai kemerdekaan pada 1957.

"Dengan adanya rasuah, negara tidak boleh membangun seperti sepatutnya. Jenayah ini merencatkan pembangunan dan memberikan kesan negatif seperti peningkatan kos sara hidup dan kos untuk melaksanakan sesuatu usaha juga turut meningkat.

"Banyak perkara tidak dapat dilakukan kerana pegawai-pegawai (kerajaan) meminta sogokan wang dari orang awam untuk melaksanakannya. Kelulusan akan diperlambatkan (jika orang ramai tidak memberi rasuah)," katanya dalam satu syarahan beliau di IACA,di Laxemburg, dekat sini pada Isnin.

Para pegawai penguat kuasa antirasuah pula akan berasa dihargai dengan pelancaran Tabung Dr Mahathir Mohamad yang dibiayai oleh IAACA yang merupakan inisiatif beliau sendiri, yang memfokus kepada memberi sokongan kepada pegawai-pegawai yang ditindas misalnya yang dibuang kerja, diancam, malah sehinggakan dibunuh dalam melaksanakan tugas mereka.

Menurut Presiden IAACA Dr Ali Fetais Al-Marri, tabung itu dinamakan sempena nama Dr Mahathir, sebagai satu penghormatan kepada beliau atas usaha-usaha beliau membasmi rasuah.

Artikel Berkaitan:

Buat permulaan, Malaysia bersetuju untuk mendermakan RM500,000 manakala Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al-Thani akan memberi sumbangan sebanyak RM1.4 juta lagi.

Dr Mahathir adalah perdana menteri yang pertama dari Malaysia yang dijemput oleh IAACA, kata naib presidennya Tan Sri Abu Kassim Mohamed, yang juga Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), dan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Memerangi rasuah adalah antara beberapa tindakan yang telah diambil oleh Dr Mahathir yang menjadi tumpuan dunia (sejak beliau menerajui tampuk pemerintahan negara pada Mei tahun lepas). Beliau menjadi inspirasi kepada ramai," tambahnya.

Dr Mahathir telah menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun sebelum meletak jawatan pada 2003. Beliau kembali memimpin kerajaan selepas gabungan Pakatan Harapan yang dipimpinnya memenangi pilihan raya umum pada Mei tahun lepas.

IAACA adalah sebuah badan antirasuah bebas, tidak memihak dari segi politik dan terdiri daripada institusi-institusi yang bertanggungjawab dalam menyiasat, mendakwa dan mencegah rasuah di seluruh dunia dengan sebanyak 140 negara dan rantau menyertai persatuan itu sebagai ahli institusi atau individu.

Objektif persatuan itu adalah untuk melaksanakan dengan secara berkesan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Rasuah (UNCAC), menjalin kerjasama yang membina antara ahli-ahlinya dari aspek pencegahan dan pengawalan rasuah, selain mendapatkan semula harta dan mengadakan kerjasama antarabangsa.

Selain menghadiri beberapa acara berkaitan pembanterasan rasuah, Dr Mahathir, 93, pemimpin terpilih tertua di dunia itu turut menarik perhatian media -- tempatan dan media Malaysia kerana pertemuannya dengan pemimpin termuda, iaitu Canselor Persekutuan Republik Austria Sebastian Kurz, 32, di Bangunan Canselori Persekutuan.

Kemudian, semasa sesi dialog di Grand Wien Hotel dengan rakyat Malaysia yang bermastautin di Austria dan Republik Slovak, dan ketika menjawab satu pertanyaan, beliau mengucapkan tahniah kepada individu yang bertanya soalan itu kerana hanya bekerja selama 10 hari dalam sebulan.

"Saya ingin mengucapkan tanhniah kepada anda. Saya pada usia begini pun tidak dapat berehat. Masa begitu singkat, saya tidak ada masa yang cukup untuk melakukan banyak perkara yang saya ingin lakukan.

"Jadi, saya kena bekerja 30 hari sebulan, 18 jam sehari dan tidur enam jam. Jika tidak, saya tidak dapat selesaikan kerja-kerja saya. Ramai orang sanggup menunggu lama untuk berjumpa dengan saya (dan meminta saya) melakukan itu dan ini. Jadi saya perlukan masa dan saya tidak boleh membuang masa dengan tidak melakukan apa-apa kerja," katanya yang disambut tepukan gemuruh kira-kira 100 hadirin pada majlis itu.

Dr Mahathir, yang diiringi isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, kali terkahir melawat Austria adalah pada 1985, ketika beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!