KPM sedia bekerjasama dengan Sabah naik taraf sekolah daif

Mohd Radzi menyampaikan ucapan pada perasmian Dewan DSP Abu Bakar Titingan, SMK Titingan hari ini. Foto: Bernama
Mohd Radzi menyampaikan ucapan pada perasmian Dewan DSP Abu Bakar Titingan, SMK Titingan hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

TAWAU - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersedia bekerjasama dengan semua pihak di Sabah dalam aspek pendidikan termasuk projek naik taraf sekolah daif.

Menterinya, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, keutamaan kerajaan adalah memastikan keselamatan pelajar, guru dan warga sekolah serta suasana pengajaran dan pembelajaran yang selesa.

"Yang penting kita (kerajaan) dapat pastikan mereka (pelajar) dapat ke sekolah," katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Sekolah Menengah Kebangsaan Titingan di sini hari ini

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai kerjasama KPM dengan kerajaan negeri Sabah melibatkan aspek pendidikan terutamanya projek naik taraf sekolah daif di negeri itu.

Katanya, pihak kementerian akan meneliti kaedah terbaik bagi memastikan keadaan semua sekolah di setiap negeri selamat untuk semua.

Radzi berkata, dalam lawatan kerjanya di Tawau hari ini beliau turut meninjau keadaan di Sekolah Kebangsaan Tanjung Batu dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kinabutan.

Menteri Kanan Pendidikan itu baru-baru ini berkata, KPM memperuntukkan sebanyak RM1.252 bilion dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) (2016-2020) bagi menaik taraf dan membangunkan semula bangunan sekolah yang daif di seluruh Sabah.

Katanya, peruntukan dalam RMK11 itu adalah untuk membiayai kerja-kerja naik taraf dan membangunkan semula bangunan daif di 237 sekolah di Sabah manakala baki bangunan daif lain akan dinaik taraf di bawah RMK12 tertakluk kepada keupayaan kewangan kerajaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!