'Khalif anak syurgaku'

Mohd Fakhrul Hadi dan Nor Azliza bersama anak syurga mereka, Khalif.
Mohd Fakhrul Hadi dan Nor Azliza bersama anak syurga mereka, Khalif.
A
A
A

KUALA NERUS - Menjaga anak yang menghidap 'cerebral palsy' atau lumpuh otak bukanlah satu tugas yang mudah, apatah lagi permata hati itu adalah anak sulung bagi setiap pasangan.

Mohd Fakhrul Hadi Mohd Arifin, 38, dan Nor Azliza Mohamad, 35, mengakui rasa tertekan dan 'hilang punca' pada peringkat permulaan apabila anak sulung mereka, Mohd Khalif Iman, 7, disahkan menghidap penyakit itu.

Mohd Fakhrul berkata, anaknya itu juga kerap mengalami sawan terutamanya awal pagi menyebabkan dia kerap membawa anaknya itu ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

"Memang sukar untuk menjalani kehidupan dan menjaga anak yang bukan normal, sehingga isteri terpaksa berhenti kerja untuk memberi tumpuan sepenuhnya untuk menjaga Khalif.

"Tapi kami reda dengan ketentuan Ilahi dan perlahan-lahan belajar cara bagaimana nak menjaga anak yang menghidap cerebral palsy melalui kumpulan sokongan, iaitu Persatuan Kebajikan Anak Permata Syurga Terengganu (APS).

"Alhamdulillah, melalui kumpulan ini, kami belajar dan mengikuti cara orang yang berpengalaman menjaga anak seperti ini," katanya.

Zuraida (tengah) bermesra dengan anak-anak istimewa yang hadir.
Zuraida (tengah) bermesra dengan anak-anak istimewa yang hadir.

Mohd Fakhrul Hadi yang bekerja sebagai kontraktor dan menetap di Kampung Jambu Bongkok, Marang ini turut dikurniakan dua orang lagi cahaya mata, iaitu Nor Rania Darwisyah, 6, dan Mohd Darwish Iman, 5 bulan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sukar untuk menjaga Khalif pada peringkat permulaan tapi selepas usianya lebih setahun, anaknya itu lebih mudah dijaga berbanding adik-adiknya kerana tidak banyak meragam, cuma tidak boleh bercakap dan uruskan diri.

"Jujurnya, saya dan isteri sentiasa memikirkan nasib anak 'syurga' kami ini sekiranya kami berdua tiada lagi. Namun, kami percaya kepada rezeki dan hikmah yang ALLAH SWT berikan," katanya.

Dia sebelum itu menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Persefaham (MoU) antara Persatuan Kebajikan Anak Permata Syurga Terengganu (APS) yang diwakili Pengerusinya, Azita Mohamad dan Telekung Nurhidayah yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Che Ku Fatin Basirah Che Ku Abu Bakar.

Ia disaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Nor dan Penaung APS, Toh Puan Nurul Izatee Md Yusof.

Majlis MoU antara APS dan Telekung Nur Hidayah (TNH) berlangsung di Hotel Raia di sini hari ini.
Majlis MoU antara APS dan Telekung Nur Hidayah (TNH) berlangsung di Hotel Raia di sini hari ini.

Sementara itu, Setiausaha APS, Dr Wan Rohila Ganti Wan Abdul Ghapar berkata, berikutan pandemik koronavirus (Covid-19), ramai ketua keluarga APS yang kehilangan kerja dan menghadapi masalah kewangan.

"Telekung Nur Hidayah (TNH) yang berpusat di Dungun, Terengganu telah terpanggil untuk melaksanakan projek tanggungjawab sosial korporat mereka dengan menderma sebahagian daripada keuntungan setiap unit telekung kepada APS secara berterusan.

"TNH juga akan memberi bimbingan secara ekstensif kepada ibu-ibu APS untuk menjalankan perniagaan telekung dalam talian tanpa sebarang modal. Komisen istimewa juga akan dibayar khas untuk ibu-ibu APS," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!