Sabah benar aktiviti sukan, rekreasi mulai Isnin ini
KOTA KINABALU - Kerajaan negeri Sabah hari ini memutuskan untuk membenarkan orang ramai melakukan aktiviti sukan dan rekreasi bermula Isnin ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kebenaran itu termasuk aktiviti sukan berpasukan seperti bola sepak, ragbi, bola keranjang, bola jaring dan skuasy.
Selain itu turut dibenarkan aktiviti sukan tempur seperti karate, pencak silat, taekwando, wushu dan judo.
"Penganjuran kejohanan/pertandingan tempatan tanpa penonton dan tidak melibatkan ‘perhimpunan ramai’ untuk sukan yang tiada bersentuhan fizikal seperti sukan pemotoran dan sukan individu (dibenarkan)," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Mohd Shafie berkata, kebenaran itu termasuk penganjuran kejohanan atau pertandingan tempatan tanpa penonton untuk sukan bersentuhan fizikal seperti kejohanan bola sepak, liga ragbi, liga hoki, liga sepak takraw, kejohanan karate, taekwondo dan pencak silat.
Katanya, kebenaran adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Belia dan Sukan.
"Pihak penganjur adalah diingatkan untuk sentiasa mematuhi prosedur dan arahan yang ditetapkan sepanjang masa," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!