Hina Jata Negara: Tindakan perlu diambil walau sudah mohon maaf

Laporan Sinar Harian hari ini. Gambar kiri: Saifuddin Abdullah
Laporan Sinar Harian hari ini. Gambar kiri: Saifuddin Abdullah
A
A
A

KUANTAN - Tindakan tetap perlu diambil terhadap syarikat kasut yang didakwa mencetak logo Jata Negara di bahagian dalam kasut keluarannya walaupun telah membuat permohonan maaf secara terbuka atas kesilapan itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, tindakan tegas perlu diambil kerana lambang kebesaran negara termasuk Jata Negara mesti dihormati, selain kejadian itu adalah yang kedua selepas kejadian hina Jata Negara dalam penerbitan sebuah buku baru-baru ini.

"Bila buat silap, ia mesti disiasat dan kalau bersalah mesti dihukum dengan setimpal. Jika tidak, mudah sangat untuk membuat silap dan kemudian minta maaf.

"Kes (hina Jata Negara dalam) penerbitan buku juga difahamkan masih dalam siasatan pihak berkuasa...yang ini pun saya akan lihat dan majukan (kepada pihak berkaitan) supaya tindakan tegas diambil," katanya kepada pemberita selepas meninjau Kursus Pembuatan Biskut oleh Ibu Tunggal Parlimen Indera Mahkota di Gerai KRT Cenderawasih di sini hari ini.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata demikian semasa diminta mengulas gambar di bahagian dalam kasut yang mengandungi Jata Negara dan surat permohonan maaf bertarikh 17 Julai daripada syarikat terlibat, yang tular di laman sosial.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, Jabatan Penerangan sedang menghasilkan buku panduan penggunaan nama dan lambang negara yang akan diedarkan secara fizikal dan dalam talian sebagai panduan kepada semua pihak berkaitan termasuk orang awam.

Katanya, masih ada pihak yang tidak tahu penggunaan nama dan lambang negara termasuk Jata Negara yang betul, selain ramai tidak menyedari kewujudan undang-undang khusus dalam perkara itu iaitu Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963.

"Kita juga akan menerangkan tentang penggunaan Jalur Gemilang yang betul kerana ada masa kita masih tersilap. Sebagai contoh, boleh atau tidak kita menggunakan bendera untuk dijadikan pakaian? Ini antara perkara yang masih ramai tidak pasti.

Artikel Berkaitan:

"Perkara ini akan diselidik dengan teliti. Kita menggalakkan orang untuk memperagakan bendera tetapi ia mesti dibuat dengan cara yang betul dan mematuhi etika. Ini antara perkara yang akan diterangkan dalam buku panduan tersebut," katanya.

Mengenai kursus itu, Saifuddin berkata, Pejabat Ahli Parlimen Indera Mahkota akan membantu usaha yang dilakukan usahawan Maizatul Akmar Rizah Mazlan yang sedang melatih 20 ibu tunggal dalam pembuatan biskut tradisional dan kerepek.

Katanya, bantuan daripada aspek modal dan pembungkusan itu akan membolehkan produk yang dihasilkan di pusat berkenaan lebih berdaya saing dan menarik perhatian lebih ramai pembeli.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!