Lapor polis konon dirompak, tapi rupa-rupanya...
BALI - Bimbang dimarahi ibu bapa kerana mabuk dan meninggalkan motosikal di pantai, seorang pelajar membuat laporan polis kononnya dirompak tiga lelaki.
Ketua Polis Buleleng AKBP I Made Sinar Subawa berkata, pelajar berusia 24 tahun dari Kampung Kaliakah di Jembrana di sini mengaku dirompak Isnin lalu di Jalan Raya Singaraja-Denpasar, lapor Kompas.
"Pelajar ini telah mabuk dan tertidur di pantai. Bila sedar, dia pulang ke rumah tanpa menunggang motosikalnya sebaliknya menaiki Grab. Setibanya di rumah, dia baru menyedari motosikal tertinggal di pantai Kedonganan.
"Bimbang dimarahi ibu bapa, pelajar berkenaan telah membuat laporan polis mengatakan dia telah dirompak oleh tiga lelaki sekali gus motosikal turut hilang," katanya.
Berdasarkan laporan itu, polis melakukan siasatan dan menemui motosikal, kunci, dompet dan jaket pelajar itu di pantai Kedonganan semalam.
"Sebaik penemuan itu, hasil siasatan mendapati pelajar itu mengaku membuat laporan polis kerana bimbang dimarahi ibu bapa pulang lewat, mabuk malah tertinggal motosikal," katanya.
Kata polis, kes kehilangan motosikal dan diganggu tiga 'perompak' menjadi perbincangan penduduk kerana bimbang keselamatan mereka.
"Kisah ini tular hingga masyarakat takut keselamatan mereka terancam ketika beriadah di pantai berkenaan. Namun kini sudah terbongkar, isu itu adalah palsu.
"Pelajar itu juga telah ditahan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!