Art Harun pilihan Muhyiddin
KONTROVERSI pelantikan Datuk Azhar Azizan Harun atau popular dengan nama Art Harun sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat (Speaker) sangat menarik untuk diteliti rakyat.
Pertamanya, ini bukan pertama kali berlaku. Speaker sebelum ini, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof juga dilantik secara kontroversi kerana janji Pakatan Harapan sebelum memenangi PRU ialah melantik Speaker yang tidak berpartisan. Bagaimanapun, ketika dilantik, Mohamad Ariff ialah ahli Parti Amanah Rakyat (Amanah).
Usul pelantikan Mohamad Arif dipertikai pembangkang ketika itu (selepas PRU14 tahun 2018) kerana dianggap tidak mematuhi peraturan usul Dewan Rakyat.
Pembangkang melakukan bantahan kerana menganggap notis 14 hari sebelum persidangan tidak dipenuhi walaupun Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah menyatakan Tun Dr Mahathir Mohamad menghantar usul tersebut pada 2 Julai 2018 namun tiada ahli Parlimen pembangkang menerima notis dalam tempoh 14 hari seperti yang dikehendaki.
Ketidakpatuhan peraturan ini ‘disahkan’ dengan pengumuman Majlis Pimpinan Pakatan Harapan mengenai calon Speaker pada 10 Julai 2018 iaitu lima hari sebelum pembentangan usul tersebut.
Ini berbeza dengan proses penyingkiran Mohamad Ariff dan pelantikan Art Harun.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melakukan dengan tertib mengikut peraturan Dewan. Notis pemberitahuan dan pengeluaran notis usul sekurang-kurangnya 14 hari sebelum pembentangan dipatuhi.
Ini memang catatan sejarah kerana kali pertama Dewan Rakyat menyingkirkan Speaker pada pertengahan penggal.
Mohamad Ariff disingkirkan dengan majoriti tipis 111 menyokong dan 109 menentang.
Keliru
Kedua, perbahasan dalam dan luar Dewan mengenai penyingkiran dan pelantikan Speaker yang dibuat oleh pihak tertentu sangat mengelirukan rakyat.
Perkara 3, Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat menyatakan: “Bila-bila jawatan Tuan Yang Dipertua itu kosong, baik dengan sebab dibubarkan Parlimen atau dengan lain-lain sebab, maka Majlis, sebaik-baik cukup bilangan ahlinya, hendaklah memilih Tuan Yang Dipertua.”
Ini sekali gus menangkis dakwaan bahawa Speaker tidak boleh disingkirkan kecuali Parlimen dibubarkan.
Satu lagi dakwaan yang mengelirukan rakyat ialah bahawa pelantikan Art Harun tidak mematuhi peraturan kerana tiada perbahasan dan pengundian.
Jika diimbau pelantikan Mohamad Ariff juga tiada proses pengundian dan perbahasan dibenarkan. Bagaimanapun, Setiausaha Dewan dalam kes pelantikan Mohamad Ariff dan Art Harun menggunakan prosedur yang sama mengikut Perkara 4 (2) dan (3) PMDR.
Perkara 4.2 menyatakan, “Seseorang ahli dengan berucap kepada Setiausaha, hendaklah mencadangkan seorang ahli lain atau seorang lain yang hadir jadi Tuan Yang Dipertua... cadangan ini hendaklah disokong tetapi tidak dibenarkan dibahas.”
Perkara 4.3 pula menyatakan, “Jika hanya seorang ahli atau seorang lain yang dicadangkan dan disokong jadi Tuan Yang Dipertua, maka Setiausaha hendaklah memasyhurkan ahli atau seorang lain itu telah kena pilih, dengan tidak dikemukakan bagi diputuskan oleh mesyuarat. Jika lebih daripada seorang ahli atau seorang lain cadangkan dan disokong jadi Tuan Yang di-Pertua, maka Majlis hendaklah menjalankan pilihan dengan undi bersurat.”
Justeru, keputusan yang dibuat oleh Setiausaha Dewan untuk tidak membenarkan sebarang perbahasan dan pengundian dalam pelantikan Speaker Dewan merupakan satu aturan dewan yang jelas.
Selagi tiada satu mandat yang kuat kepada mana-mana parti utama yang mempunyai ideologi politik yang jelas, maka rakyat harus membiasakan diri dengan kelaziman baharu politik negara yang penuh kontroversi dan ketidaktentuan ini.
*Ab Jalil Baker ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!