Cabaran pengiktirafan dunia
Pada 15 Julai lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberitahu sidang media di Parlimen yang dia sedang berusaha ‘perbetulkan’ perhubungan dengan China, India, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Dalam nada tertekan, Menteri UMNO kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu dipetik sebagai berkata bahawa perhubungan Malaysia dengan negara-negara itu sedang diuji.
Saya faham kalau Hishammuddin cuba melakonkan sedikit tugasnya untuk menarik perhatian pemberita dan pengarang dalam perlumbaan mendapatkan liputan.
Namun saya rasa perhubungan kita dengan negara yang disebutkan itu tidaklah seburuk mana semata-mata kerana kita menyuarakan pendapat kita secara terbuka dalam hal ehwal dua hala dan antarabangsa.
Secara tidak langsung, Hishammuddin mengkritik dan menyesali dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH) atau lebih tepat pendirian bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga menyebabkan perhubungan menjadi ‘amat teruji’.
Sebaliknya saya rasa perhubungan dengan China, misalnya, menjadi lebih terbuka dan ikhlas apabila kerajaan PH berjaya merundingkan semula beberapa perjanjian dua hala, khususnya yang melibatkan 1MDB dan Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).
Cuma yang menimbulkan ketegangan adalah kemasukan kapal-kapal bersenjata China ke dalam kawasan kegiatan minyak dan gas Malaysia di Laut China Selatan. Itu pun tidaklah sehingga mengganggu atau menyekat kepentingan kedua-dua buah negara.
Saya lebih memandang berat kesan jangka panjang skandal 1MDB terhadap perhubungan Malaysia-China. Banyak orang tidak tahu tentang betapa besarnya kesan skandal itu ke atas kepentingan strategik negara kita.
Rabu lalu disebutkan dalam perbicaraan rasuah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bagaimana percubaan dibuat bagi menyembunyikan peranan pelarian jenayah Jho Low dalam 1MDB kerana ditakuti akan menimbulkan cemburu dan kemarahan orang UMNO.
Apa yang mungkin tidak diketahui ramai adalah akibat skandal itu beberapa buah loji penjana elektrik bebas (IPP) di negara kita jatuh ke tangan syarikat milik kerajaan China.
Ini berlaku sekitar tahun 2015 dan 2016 apabila 1MDB menjual semua IPP milik anak syarikatnya, Edra Global Energy kepada China General Nuclear Power Corporation (CGN) untuk membayar sebahagian hutangnya yang ketika itu berjumlah RM42 bilion.
Oleh kerana terlalu terdesak, 1MDB terpaksa jual loji-loji itu pada harga yang lebih murah daripada yang dibayarnya sewaktu membeli daripada pengusaha tempatan.
Akibat daripada penjualan itu, industri penjanaan elektrik kita yang sebelumnya dikuasai 100 peratus oleh pelabur tempatan telah jatuh sebahagiannya ke tangan pelabur asing.
Begitu juga dengan projek ECRL yang dimeterai ketika pemerintahan Barisan Nasional pada harga RM65 bilion telah dirunding semula oleh kerajaan PH dan berjaya dikurangkan sebanyak RM21.5 bilion kepada RM44 bilion dengan sedikit pindaan laluan.
Jadi, perhubungan dengan China tidaklah terancam seperti yang digambarkan oleh Hishammudin. Begitu juga dengan India yang tersinggung kerana Dr Mahathir membantah serangannya ke atas Kashmir.
Perhubungan kita dengan Arab Saudi dan sekutunya akan sentiasa ‘diuji’ selagi kita kritikal terhadap dasar Amerika Syarikat di Asia Barat, campur tangan sesetengah negara Islam dalam perang saudara Yemen dan dasar berbaik-baik kita dengan Iran.
Perhubungan kita dengan negara-negara Arab juga terbeban akibat pembabitan warganegara mereka dalam skandal 1MBD.
Kesimpulannya, perhubungan luar kita dengan negara-negara sahabat besar dan kecil, dekat dan jauh tidaklah segenting yang digambarkan oleh Hishammuddin. Lagi pun, itulah cabaran diplomasi apabila suara sesebuah negara diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. Kita sepatutnya gembira yang suara kita diiktiraf. Wallahuaklam.
Saya lebih memandang berat kesan jangka panjang skandal 1MDB terhadap perhubungan Malaysia-China.”
* A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!