KL dilanda banjir kilat, pokok tumbang hempap kereta
KUALA LUMPUR - Sekurang-kurangnya dua kereta dan sebuah van rosak akibat dihempap pokok tumbang dalam kejadian hujan lebat di ibu kota petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima laporan pokok tumbang antara jam 5 dan 6 petang di lima lokasi berasingan.
Menurutnya, antara kawasan terlibat ialah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Axia yang remuk pada bahagian hadapan akibat dihempap pokok.
"Di Grand View Kepong turut berlaku insiden pokok tumbang yang merosakkan dua kenderaan iaitu jenis Proton Saga dan sebuah van dalam kejadian pada jam 5. 29 petang.
"Di Jalan Athinapahan 2, Taman Tun Dr Ismail pula, dapur sebuah rumah dihempap pokok, bagaimanapun kejadian itu tidak melibatkan kemalangan jiwa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut jurucakap itu, laporan pokok tumbang atas jalan turut dilaporkan di Taman Sri Rampai dan Sungai Penchala.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur memaklumkan turut menerima laporan kejadian banjir kilat yang berlaku di hadapan Masjid Ubudiah Jalan Segambut Dalam.
"Jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Hartamas bersama enam anggota tiba di lokasi pada jam 7.44 petang bertindak membuat pemantauan di lokasi bagi tujuan keselamatan.
"Air naik setinggi 0.3 meter sebelum kembali surut secara berperingkat. Bagaimanapun, kejadian tidak melibatkan mangsa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!