Sentuhan magis empat jari

Wan Azrul Amin mengalami kesukaran untuk memegang pen semasa melukis.
Wan Azrul Amin mengalami kesukaran untuk memegang pen semasa melukis.
A
A
A

BUKIT JALIL - Walaupun dilahirkan cacat dengan hanya memiliki empat jari pada kedua-dua tangan dan mempunyai masalah pendengaran, namun ia bukan penghalang bagi seorang graduan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan membuktikan kemampuannya sebagai pelukis pelan landskap.

Wan Azrul Amin Wan Mohd Nashir, 25, yang memiliki diploma seni bina mula bekerja sebagai pelukis pelan landskap di sebuah syarikat di sini sejak lima bulan lalu.

"Saya tamat pengajian pada 2018 dan menganggur selama setahun. Alhamdulillah majikan syarikat ini sudi mengambil saya bekerja.

"Saya tidak pernah kesal dilahirkan begini dan sentiasa berusaha untuk menjadi manusia yang berjaya di dunia dan akhirat," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, kisah Wan Amin tular di laman sosial selepas berkongsi hasil kerjanya luar biasa meskipun hanya mempunyai empat jari.

Mengimbau pembelajaran semasa di Politeknik, Wan Azrul mengakui keadaan fizikalnya membuatkannya sering berdepan pelbagai cabaran.

"Tangan saya tak berapa kuat genggaman untuk pegang pen. Bagi jurusan seni bina ini memang memerlukan kawalan tangan untuk buat lukisan menggunakan pen teknikal.

"Saya terpaksa ulang banyak kali tugasan dan pernah cedera banyak kali semasa potong board," katanya.

Artikel Berkaitan:

Wan Azrul Amin bersama ibunya, Salina Ismail semasa tamat pengajian di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan Pahang.
Wan Azrul Amin bersama ibunya, Salina Ismail semasa tamat pengajian di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan Pahang.

Katanya, memandangkan deria pendengarannya bermasalah, dia terpaksa peka dengan setiap pergerakan mulut pensyarah untuk faham ilmu yang disampaikan.

"Di kelas saya akan duduk di depan kerana tidak berapa dengar.

"Walaupun sudah pakai alat bantu dengar, tapi tak 100 peratus saya boleh dengar apa yang diajar," jelasnya.

Anak ketiga dari empat beradik ini berkata, masalah pendengarannya mula dikesan semasa berusia 17 tahun semasa melakukan pemeriksaan di hospital.

Menurutnya, dia pernah mengalami gegendang telinga pecah semasa berusia lapan tahun tetapi tidak memaklumkan kepada ibu bapanya.

"Saya biarkan telinga keluar bernanah dan darah sebab waktu itu saya seorang pendiam sehinggalah pada usia 17 tahun pendengaran semakin teruk.

"Pada usia 18 tahun, saya lakukan pemeriksaan bersama keluarga dan doktor sahkan saya OKU pendengaran. Saya perlu pakai alat pendengaran," katanya.

Wan Azrul Amin bersama hasil karya ketika menuntut di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan Pahang.
Wan Azrul Amin bersama hasil karya ketika menuntut di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan Pahang.

Wan Azrul Amin berkata, walaupun keadaan fizikalnya serba kekurangan, namun dia tidak sesekali berputus asa untuk meneruskan perjuangan hidup.

"Kita perlu keluar dari zon selesa untuk belajar bersyukur dan bercita-cita. Jangan takut buat silap untuk cuba perkara baru, yang penting usaha untuk memperbaiki diri jadi lebih baik.

"Percaya dan yakin pada diri sendiri, jangan fokuskan pada kekurangan kita, tapi cuba buktikan apa yang mampu kita capai di luar sana. Insya-ALLAH, akan dipermudahkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!