Menangis nak balik jumpa mak
Peluang dipilih sebagai aktivis tunggal mewakili Malaysia menyertai misi kemanusiaan Right to A Just Future for Palestine ke Gaza, Palestin dua tahun lalu adalah pengalaman berharga buat Profesor Dr Mohd Afandi Salleh.
Anak jati Kampung Ladang, Kuala Terengganu itu menganggap dirinya bertuah kerana diberi peluang ke Gaza melalui jalan laut, laluan yang jarang dipilih oleh sukarelawan atas faktor keselamatan berikutan risiko yang tinggi.
Mohd Afandi yang kini berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berkata, sebelum menyertai misi itu, beliau sudah tiga kali ke Gaza namun semuanya melalui jalan darat.
“Menyertai misi melalui jalan laut sebenarnya boleh dianggap macam pergi mati. Ini kerana dari Palermo, Itali ke Gaza adalah laluan terakhir, jadi hampir pasti Israel akan kacau tapi kacau dalam bentuk apa kita tidak tahu, sama ada ditembak, tangkap ataupun penjara.
“Kes-kes sebelum ini ada yang mati ditembak. Laut Mediterranean juga terkenal dengan perompak selain bimbang kapal dinaiki pecah dilambung ombak. Banyak kemungkinan sebab itu saya cakap ini seakan-akan pergi mati,” katanya kepada Sinar Ahad di pejabatnya di Kuala Terengganu baru-baru ini.
Mohd Afandi yang merupakan aktivis Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) bersama 22 aktivis dari 16 negara berlepas dari pelabuhan Messina, Sicily di Itali pada 22 Julai 2018 dengan menaiki kapal kemanusiaan Al-Awda.
Misi pelayaran kemanusiaan dengan mesej keamanan itu adalah simbolik penentangan masyarakat antarabangsa ke atas kepungan haram rejim Israel ke atas Gaza sejak 2007 dan turut membawa bekalan perubatan untuk rakyat Palestin di Gaza.
Selain Mohd Afandi, aktivis lain di atas kapal itu ialah Ahli Parlimen Norway, Mikkel Gruner; doktor pakar ortopedik United Kingdom, Dr Ang Swee Chai; aktivis kemanusiaan warganegara Israel, Zohar Chamberlain Regev dan bekas atlet Olimpik Norway, Profesor Gerd Von der Lippe.
Selama sembilan hari perjalanan ke Gaza sejauh 1,000 batu nautika, beliau bersama 20 aktivis lain berada di dalam kapal Al-Awda yang kecil di tengah Laut Mediterranean yang luas dengan 1,001 perasaan.
Cabaran
Al-Awda ialah sebuah kapal laut Artik yang mempunyai kabin yang panas dan keadaan itu mewujudkan suasana cukup tidak selesa. Pada hari pertama pelayaran, Mohd Afandi sudah mabuk laut dan muntah sampai lembik.
Sebagai satu-satunya aktivis beragama Islam, beliau juga berdepan cabaran untuk menunaikan tanggungjawab sebagai Muslim dengan segala kemudahan yang begitu terhad.
“Kita mahu solat nak bersuci dulu, hendak mandi tidak boleh sewenang-wenangnya, jadi kita kena amalkan normal baharu dan bersolat pun terhuyung-hayang kerana kapal tidak pernah stabil,” katanya.
Namun, konflik dalaman terbesar dihadapi Mohd Afandi adalah apabila dimaklumkan ibunya, Kelsom Jusoh yang ketika itu berusia 80-an sakit di kampung di Terengganu. Perkara itu diberitahu oleh isterinya, Ayu Mazlan menerusi telefon satelit pada hari kedua.
Selepas berbincang dengan pasukan, beliau mengambil keputusan untuk balik menggunakan kapal kecil dari Greece yang dijadualkan datang menghantar bekalan makanan dan minyak tambahan kepada mereka.
“Mak tahu saya pergi ke Gaza tetapi saya tidak beritahu pergi melalui laut kerana tidak mahu dia risau. Jadi, bila isteri beritahu mak ada sakit jantung, memang saya mahu balik,” kenang Mohd Afandi.
“Malangnya, kapten kapal Al-Awda beritahu kapal kecil menghantar bantuan tersebut tidak dapat datang kerana disekat oleh Israel. Ketika itu timbul konflik dalam diri, saya fikir kalau mak mati berdosakah aku (kerana tidak berterus terang). Saya begitu sedih dan menangis.
“Saya pesan kepada isteri jangan beritahu mak saya berada di laut kerana bimbang dia terkejut sebab dia ada masalah jantung,” katanya.
Pagi hari kesembilan, tentera Israel datang bersama tiga kapal perang dan 12 bot peronda.
Mereka juga cuba menakut-nakutkan sukarelawan dengan memandu bot secara laju hingga air laut berombak dan berasap menjadikan suasana cukup dramatik seolah-olah diserang seperti adegan lakonan dalam filem.
Menurut Mohd Afandi, Al-Awda pada masa itu tidak melakukan sebarang kesalahan kerana belayar di perairan antarabangsa.
Namun, kapal itu akhirnya ditawan askar Israel yang menyerbu masuk menggunakan mesingan dan anjing.
Sukarelawan yang membantah dan bertindak agresif digari menggunakan tali plastik dan dikenakan renjatan elektrik.
Kapal berkenaan ditunda ke Pelabuhan Ashdod, Israel. Di negara Zionis itu, Mohd Afandi bukan sahaja disoal siasat dalam keadaan berbogel, malah beliau juga ditempatkan di lima penjara berbeza yang kotor dan dipenuhi najis manusia.
Selepas dua hari ditahan tentera Israel, Mohd Afandi dibebaskan dengan bantuan peguam. Beliau tiba di Malaysia pada 31 Julai 2018.
“Alhamdulillah, saya dapat jumpa mak. Mak cerita pada hari kelapan saya di sana, dia tiba-tiba hilang selera makan. Rupanya itu adalah hari kami diculik tentera Israel. Itulah naluri dan perasaan seorang ibu.
“Saya tetap tidak beritahu mak saya ke Gaza naik kapal laut sehinggalah dia meninggal dunia tapi saya rasa dia tahu,” cerita Mohd Afandi.
Menurutnya lagi, setiap saat ketika itu ‘mahal’ harganya, namun cukuplah sekali beliau merasai pengalaman tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!