Pengadil, jurulatih kecergasan tempatan wira tak didendang

Subkhiddin (dua dari kiri) antara pengadil tempatan yang mendapat kepercayaan FIFA.
Subkhiddin (dua dari kiri) antara pengadil tempatan yang mendapat kepercayaan FIFA.
A
A
A

BILA kita berbicara tentang peluang pekerjaan dalam sukan bola sepak Malaysia, sebahagian besar rakyat tempatan hanya memikirkan ‘pemain’ dan ‘jurulatih’ bagaikan hanya wujud dalam prasarana industri ini.

Sejak sekalian lama, masyarakat seakan-akan sudah dimomokkan dengan karier pemain dan jurulatih dek kemewahan, kemasyhuran dan kegemilangan baik di dalam dan di luar padang.

Berbalik 20 tahun lalu, masyarakat masih ragu-ragu dengan pekerjaan ini apabila mereka melihat karier menjadi pemain atau jurulatih bola sepak sebenarnya tidak menjamin masa depan.

Malah, boleh dikatakan hampir kesemua ibu bapa melarang keras dan lantang menentang hajat anak-anak mereka jika memiliki impian menceburi bidang bola sepak yang dianggap lebih kepada hobi waktu petang atau hiburan semata-mata.

Kini boleh dikatakan semua sudah mula berangan menjadi pemain atau jurulatih profesional bola sepak yang telah mula dilihat hampir setanding dengan profesion pekerjaan lain seperti jurutera, juruterbang atau doktor selepas melihat contoh-contoh berjaya dalam kalangan mereka dengan menikmati kemewahan cukup luar biasa.

Penulis tetap mahu mengambil kesempatan untuk memuji kesungguhan para ibubapa yang telah mula nampak potensi sukan bola sepak yang semakin besar dalam ekonomi negara.

Bagaimanapun penulis juga mahu mengingatkan kepada ibu bapa agar tidak terlalu skeptikal kerana peluang pekerjaan dalam dunia bola sepak cukup luas di mana ia tidak sahaja bergantung kepada profesion pemain atau jurulatih.

Ini kerana ibubapa harus menyedari bahawa masih banyak peluang menanti generasi muda iaitu pengadil, jurulatih kecergasan, jurulatih akademi dan lebih banyak lagi profesion lain khusus untuk sukan bola sepak.

Artikel Berkaitan:

Janganlah cepat menghukum anak-anak kecil jika mereka gagal bersaing di peringkat akademi kerana kita sebagai ibubapa harus memberikan pendidikan baik untuk meneruskan minat mereka.

Jika penulis menyebut nama bekas pengadil FIFA, Subkhiddin Mohd Salleh, penulis dapat menjangkakan sudah pasti ramai mengenali kelibat cikgu yang pernah mengajar di Nibong Tebal, Pulau Pinang ini.

Sebaris dengan Subkhiddin, pengadil-pengadil berwibawa negara seperti Nik Ahmad Yaakob, Allahyarham Nazri Abdullah dan Abdul Halim juga tidak kurang hebatnya.

Apa yang pasti, penulis yakin bahawa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sudah pasti mahu melahirkan pengadil tempatan berwibawa seperti dimaksudkan sebaik menubuhkan Pegawai Perlawanan Profesional Malaysia (PMOM) pada masa akan datang.

Namun penulis yakin bahawa tidak ramai mengenali nama Reuben Jude yang merupakan seorang jurulatih skuad kecergasan skuad B-23 dan B-19 dan menjadi elemen penting buat kejayaan pasukan muda negara pada masa kini.

Ingatlah bahawa sukan bola sepak berfungsi satu unit dan penulis yakin bahawa lebih banyak potensi untuk meneruskan legasi Subkhiddin atau Reuben dalam usaha mengukuhkan bola sepak negara.

Akhir kata, pendidikan atau kesedaran tentang peluang pekerjaan dalam sukan bola sepak harus dilihat skop lebih meluas kerana sudah tiba masanya golongan profesion ini didendang seperti wira sama seperti pemain dan jurulatih.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!